Guan Eng nafi DAP tidak ikhlas dalam Kerajaan Perpaduan

Guan Eng nafi DAP tidak ikhlas dalam Kerajaan Perpaduan

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP tidak pernah mempertikai janji yang dibuat sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan berhubung empat perkara membabitkan Melayu dan Islam.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng sehubungan itu berkata, sebarang dakwaan yang mengatakan parti berkenaan tidak ikhlas untuk bekerjasama dalam kerajaan hari ini adalah tidak berasas malah menimbulkan persepsi negatif terhadap parti itu.

“DAP sentiasa menyokong institusi raja-raja Melayu, sistem raja berperlembagaan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak pernah mempertikaikan perkara ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan kenyataan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang merasakan DAP dilihat masih tidak ikhlas bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan meskipun hubungan sudah terjalin dua tahun iaitu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dakwaan itu turut dikaitkan dengan isu-isu sensitiviti agama dan perkauman kebelakangan ini yang didakwa tidak dijaga dengan baik oleh DAP sehingga menimbulkan ketegangan dalam gabungan politik sedia ada.

Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi yang berlaku membabitkan pemimpin DAP lain.

“Saya tidak berminat untuk mengulas kecuali jika ia menjejaskan kestabilan politik Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Sebelum Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim terbentuk, pimpinan DAP telah memberi jaminan untuk menghormati empat perkara termasuk kedudukan Islam dan institusi raja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN