PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki akan memberi kerjasama terhadap siasatan pihak berkuasa berhubung dakwaan beliau terbabit dalam isu salah laku perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai satu usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan namanya.
Menurutnya, pihak yang mendakwanya itu mempunyai perasaan hasad dengki dan dendam kepadanya yang tidak bertempat.
“Baru-baru ini, telah tular sebuah hantaran dalam Telegram Channel Edisi Siasat yang cuba mengaitkan saya dengan tuduhan salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial, semalam.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Mengulas lanjut, Afdlin berkata, beliau sudah membuat laporan plis semalam bagi membolehkan pihak berkuasa itu menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dilemparkan kepadanya.
“Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL. Oleh itu, saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Saya juga bersedia memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh agensi penguatkuasaan. Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa.
“Saya yakin dan pasti dengan izin Allah SWT akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” katanya. – UTUSAN










