Banyak kawan jauhi Che Ta ketika kontroversi hutang sejuta - Utusan Malaysia

Banyak kawan jauhi Che Ta ketika kontroversi hutang sejuta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan, 52, mendedahkan mula dijauhi teman karib gara-gara terpalit isu pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA), tahun lalu.

Enggan berkecil hati, Rozita yang mesra disapa Che Ta merasakan ia adalah petanda daripada Allah untuk menjauhkannya daripada individu yang tidak ikhlas.

“Memang ada kawan-kawan menjauhi. Tapi tidak mengapa. Bagi saya, bila Allah turunkan ujian, mungkin Dia mahu jauhkan dari kita daripada seseorang. Caranya adalah dengan membuatkan seseorang itu pergi,” katanya.

Che Ta ditemui di majlis sidang media dan pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Walaupun kelihatan tenang dan tidak menutup ruangan komen media sosial, Che Ta tidak menafikan kontroversi kali ini memberi kesan kepadanya kerana turut melibatkan anaknya, Ammar Effendy.

“Mungkin kali ini saya atasi kontroversi cara berbeza kerana ia melibatkan ahli keluarga iaitu anak-anak. Saya tidak suka.

“Anak saya tidak okay dan mereka jadi hairan mengapa saya boleh jadi sangat tenang.

“Saya katakan pada mereka jangan bimbang kerana setiap masalah akan berakhir. Allah tidak akan turunkan ujian jika kita sebagai hambanya tidak mampu menghadapi. Allah ada,” jelasnya lagi.

Menurut pelakon Kiah Pekasam itu lagi, dia juga tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada warganet yang mengecamnya kerana beranggapan setiap orang mempunyai hak untuk bersuara.

“Kita negara demokrasi di mana setiap orang ada hak bersuara. Kalau kita tutup komen orang akan anggap kita bersalah.

“Mungkin nanti apabila dia nampak ada kebenaran, mereka akan sedar ada kesilapan berkata begitu. Saya pun enggan menegakkan benang yang basah.

“Saya okay sahaja, saya teruskan hidup dan perniagaan,” katanya yang turut mengesahkan hutangnya dengan pihak MARA sudah selesai.

Dalam perkembangan lain, Rozita dilantik sebagai dua jenama tudung premium, Ariani Luxe tahun ini. Ariani turut menampilkan 300 pilihan hijab dan 300,000 baju raya sempena Aidilfitri 2025.

Majlis pertunjukan yang berlangsung tadi turut diserikan dengan persembahan beberapa penyanyi popular tanah air, antaranya Dato’ Amy Search, Dato’ Awie, Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN