PETALING JAYA: Usaha Kementerian Pendidikan mengesan murid yang tidak dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira perlu diperluaskan secara menyeluruh bagi mengelakkan masalah keciciran.
Pihak sekolah perlu mengenal pasti murid yang tidak mampu menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira supaya intervensi dapat dilaksanakan seawal mungkin.
Pensyarah Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, sebarang campur tangan yang dijalankan oleh KPM juga perlulah telus agar punca sebenar kanak-kanak tersebut tidak dapat menguasai 3M dapat dikenal pasti.
“Kita perlukan strategi yang lebih bersepadu bagi mengelakkan sebarang keciciran murid, selain ketiadaan guru-guru dengan kelayakan setimpal untuk menjalankan intervensi 3M juga menjadi cabaran di sekolah.
“Tidak munasabah sekiranya tugas intervensi 3M diserahkan kepada guru biasa yang mempunyai beban tugas tersendiri bagi mengikuti kurikulum yang telah ditetapkan. Jadi, satu usaha bersepadu di sekolah adalah lebih sesuai.
“Benar, sistem sekarang tiada peperiksaan. Namun, penilaian terhadap kemampuan membaca dan menulis ini sangat penting. Tanpanya, sukar untuk murid-murid ini meneruskan pembelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini melaporkan, data pada tahun 2024 menunjukkan, seramai 122,000 murid Tahun Satu bagi sesi akademik tahun ini di seluruh negara dikesan masih belum menguasai kemahiran 3M.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata antara punca yang menyumbang kepada perkara itu adalah keciciran pembelajaran semasa pandemik Covid-19, kemiskinan dan anak-anak keperluan khas.
Salleh berkata, walaupun sistem pendidikan sekarang tanpa peperiksaan, penilaian terhadap kemampuan murid membaca, menulis dan mengira adalah sangat penting.
Katanya, tidak ada masalah sekiranya ibu bapa ingin menghantar anak-anak ke prasekolah lebih awal supaya mereka dapat membaca dengan lancar sebelum melangkah ke alam persekolahan.
“Tidak menjadi masalah jika ada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke prasekolah seawal usia tiga tahun. Tetapi, jangan pula hantar mereka semata-mata ingin mereka pandai sehingga anak lupa keseronokan belajar.
“Bagaimanapun, jangan lupa, ada juga murid yang mungkin tidak boleh membaca kerana ada masalah pembelajaran. Pelajar ini perlu mengikuti program pendidikan khas dan tidak seharusnya bersama dengan pelajaran aliran perdana.
“Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu diberitahu status 3M anak-anak. Ibu bapa juga tidak boleh bertindak lepas tangan dan bertindak menyerahkan urusan pendidikan kepada pihak sekolah semata-mata,” katanya.










