PUTRAJAYA: Sebarang Titah Adendum melibatkan pelaksanaan tahanan di rumah dianggap pramatang untuk diterima sebagai satu keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) jika belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, syarat-syarat itu ialah Titah Adendum perlu diangkat kepada Mesyuarat Lembaga Pengampunan terlebih dahulu sebelum YDPA membuat pertimbangan mengikut kuasa prerogatif baginda.
Katanya, dari sudut prinsip Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, suatu Titah Adendum itu hanya boleh dianggap prerogatif YDPA setelah mematuhi prosedur dan syarat yang dibutirkan dalam peruntukan tersebut.
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, YDPA berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Katanya, terdapat syarat lain bagi membolehkan YDPA melaksanakan prerogatif baginda di bawah Perkara 42 itu.
“Adendum itu perlu diangkat kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan sebelum Jabatan Peguam Negara perlu menyampaikan pandangan terhadap isu undang-undang dan aspek lain yang berkaitan.
“Seterusnya, Ahli Lembaga Pengampunan perlu meneliti pandangan Jabatan Peguam Negara tersebut sebelum mempersembahkan nasihat kepada YDPA.
“YDPA memutuskan pertimbangan baginda ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan. Prerogatif YDPA hanya bermula selepas syarat-syarat ini dipenuhi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, prerogatif YDPA dalam kes pengampunan, tunda hukum dan lega hukum hanya bermula apabila syarat yang ditetapkan oleh Perkara 42 dipatuhi.
Jelasnya, Perkara 42 itu juga membataskan prerogatif yang perlu dilaksanakan setelah syarat yang termaktub itu dipatuhi.
“Dalam apa jua keadaan, keputusan YDPA ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu terpakai,” katanya. – UTUSAN









