DENGKIL: Malaysia perlu memperkukuhkan kekuatan dalaman bagi menghadapi ketidaktentuan global dan sekiranya berlaku sebarang perubahan mendesak akibat pergolakan dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, dalam keadaan dunia sekarang yang rencam penuh dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi rakyat perlu bangkit serta fokus kepada bidang yang kritikal seperti ilmu dan kemahiran, keterampilan dan kecerdasan buatan (AI) jika tidak mahu negara terus ketinggalan.
“Kita mohon rakyat supaya fokus dalam bidang ini supaya tidak ketinggalan. Dengan dasar-dasar Amerika Syarikat yang tidak menentu, kita harus membina kekuatan dalaman. Ia adalah perkara asas dan sangat mendesak,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil di sini semalam.
Anwar berkata, rakyat juga mesti digerakkan untuk terus menguasai ilmu, meningkatkan kemahiran dan mengangkat martabat negara bagi menghadapi dunia yang semakin mencabar dan penuh persaingan.
Sementara itu mengenai siri lawatan beliau ke empat buah negara baru-baru ini, Anwar berkata ia sangat bermakna dan berkesan malah beliau turut komited memperkukuhkan semula blok ASEAN supaya lebih kuat.
Anwar baru-baru ini menyertai siri lawatan ke empat buah negara bagi membawa misi penting dengan mengetengahkan suara Malaysia ke persada dunia selain meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala yang bermula dengan lawatan rasminya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK), Belgium, dan Switzerland sejak 12 Januari lalu.
Dalam rangka lawatan tersebut, beliau mengetuai delegasi Malaysia termasuklah ke Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos menerusi destinasi lawatan akhirnya ke Switzerland.
Sementara itu, dalam perkembangan Himpunan Rakyat Benci Rasuah dijadualkan hari ini, Anwar berkata, kerajaan tidak akan menghalang mana-mana himpunan jika ia bertujuan melawan atau membanteras aktiviti rasuah di negara ini.
Beliau turut mengesahkan perhimpunan berkenaan diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa, bagaimanapun, ada beberapa tempat atau lokasi himpunan yang tidak dibenarkan berhimpun.
“Kita tak ada masalah, kerajaan boleh memberi kebenaran (untuk berhimpun), malah kebenaran sudah diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Cuma ada tempat-tempat yang tidak diberi kebenaran untuk berhimpun. Tapi bagi saya tak ada masalah, buat lah, bantahlah rasuah. Kalau ada (himpunan lawan rasuah), saya tidak tolak usul, nak berhimpun, berhimpun lah,” katanya di Pusat Islam UiTM.
Akhbar kelmarin melaporkan, setakat pagi semalam, penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah belum menghantar kembali notis perhimpunan yang lengkap kepada polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, sebelum ini pihaknya sudah meminta penganjur melengkapkan notis pemberitahuan perhimpunan kerana tidak disertakan salinan persetujuan pemilik atau penghuni tempat perhimpunan.
Himpunan itu dijadualkan berlangsung esok di hadapan Kompleks SOGO dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, penganjur himpunan tersebut perlu mendapatkan izin daripada pemilik premis Sogo dan Dataran Merdeka terlebih dahulu, malah, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, permohonan itu ditolak Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN










