KUALA KANGSAR: Penduduk Taman Puncak Bougainvillea di sini bimbang terhadap ancaman tebing runtuh yang hanya dalam jarak 10 meter dari kediaman masing-masing.
Runtuhan tanah yang berlaku bersebelahan Jalan Puncak Bougainvillea didakwa semakin teruk dan jika dibiarkan boleh menyebabkan kejadian lebih buruk.
Berdasarkan tinjauan, tanah runtuh curam itu bersebelahan parit yang dipenuhi sampah sarap serta berbau busuk dengan sekurang-kurangnya enam rumah terletak berhampiran lokasi tersebut.
Menurut seorang penduduk, Wan Abdul Jalil Mustaffa, 57, sudah hampir setahun mereka menghadapi masalah tersebut meskipun dijanjikan bermacam tindakan untuk mengatasinya.
“Hujan lebat yang melanda kawasan Kuala Kangsar pada hujung 2024 lalu menyebabkan tanah yang sudah rebak ini menjadi semakin ketara. Kami risau tanah yang semakin terhakis ini boleh merosakkan struktur rumah.
“Malah kami cuba berikhtiar dengan menanam pokok di tanah ini dengan harapan struktur tanah boleh bertahan dan tidak terus terhakis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Keadaan itu mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang melawat ke kawasan perumahan tersebut kelmarin dan kemudian mengarahkan bertindak segera bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengelakkan risiko lain.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Mazlan Harun, 61, berkata, keadaan struktur longkang sedia ada boleh mendedahkan tanah untuk terus terhakis kerana saliran membawa air buangan dari kawasan rumah kedai berdekatan menyebabkan keadaan tanah runtuh semakin teruk.
Katanya, penduduk juga berdepan bau busuk saluran kumbahan serta longkang, selain kehadiran reptilia buas seperti biawak dan ular di perumahan tersebut.
“Malah bangkai tikus pun ada di longkang ini. Kami harap perkara ini mendapat perhatian pihak berwajib kerana ia melibatkan keselamatan,” katanya. – UTUSAN











