PUTRAJAYA: Mangsa penipuan syarikat pengendali umrah disaran tampil memfailkan tuntutan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, TTPM merupakan platform terbaik untuk mangsa memperjuangkan hak mereka.
Katanya, pihak kementerian dan TTPM bersedia membantu mangsa serta memastikan kes tuntutan dapat diselesaikan segera kerana ia membabitkan hak pengguna sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Orang kumpul duit untuk pergi umrah tetapi akhirnya hasrat baik mereka terencat disebabkan oleh penipuan sebegini yang melibatkan pengurusan syarikat umrah.
“Saya mahu TTPM agar dapat mempercepatkan kes mereka ini dan memberikan mesej jelas bahawa pihak KPDN sendiri tidak berkompromi dengan jenayah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perutusan Hala Tuju Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sini semalam.
Isu penipuan umrah kembali panas sepanjang minggu lepas dan melibatkan sebuah agensi ibadah umrah yang dikatakan mencecah kerugian jutaan ringgit.
Pemilik syarikat berkenaan dan isterinya kemudian direman selama tiga hari berikutan dakwaan penipuan.
Kata Armizan, isu penipuan umrah antara kes paling tinggi diterima TTPM dari seluruh negara setiap tahun.
“Saya tiada butiran statistik yang lengkap namun ini juga antara kes terbanyak diuruskan tribunal berkenaan sebab jenayah penipuan itu amat serius,” katanya.
Ujar Armizan, segala bentuk penipuan termasuk pakej umrah perlu ditangani segera.-UTUSAN










