Lelaki hidap tujuh penyakit kronik

Lelaki hidap tujuh penyakit kronik

NIK Mohd. Azwa Nik Yahya bersama isteri dan anaknya di Kampung Padang Luas, Besut, Terengganu. -UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Nasib seorang lelaki dari Kampung Padang Luas di sini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila diuji dengan masalah kesihatan bertimpa-timpa selepas disahkan menghidap penyakit glaukoma atau kerosakan saraf mata akibat kemalangan di tempat kerja, kira-kira tujuh tahun lalu.

Nik Mohd. Azwa Nik Yahya, 41, berkata, ekoran itu dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu jurutera dan pulang ke Kampung Padang Luas untuk membina kehidupan baharu bersama keluarga pada 2018.

“Saya mengambil keputusan membawa keluarga pulang dan menetap di kampung tetapi dalam masa sama saya diuji enam lagi penyakit kronik.

“Awalnya saya hanya menghidap penyakit kencing manis tetapi selepas kemalangan di tempat kerja satu persatu penyakit datang, antaranya darah tinggi, masalah jantung, paru-paru, usus dan kegagalan buah pinggang,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Luas, semalam.

Menurut Nik Mohd. Azwa, penyakit itu menyebabkannya pernah terlantar selama enam bulan dan menjalani empat kali pembedahan.

Bapa seorang cahaya mata itu berkata ketika hendak menjalani pembedahan buah pinggang pada 2020, doktor mengesahkan terdapat tumor di bahagian ususnya pula.

“Pembedahan terpaksa dilakukan untuk membuang tumor itu sebelum pembedahan bagi rawatan buah pinggang boleh dilakukan. Waktu itu, keadaan saya amat teruk,” katanya.

Berkat sokongan isteri dan ahli keluarga yang lain, dia mengambil masa lebih setahun untuk bangkit dan menjalani kehidupan.

“Kini saya mampu berjalan kembali meskipun tidak sempurna seperti dahulu dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Besut. Selain itu, saya perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu dan kos­nya agak tinggi iaitu kira-kira RM350 setiap kali rawatan.

“Alhamdulillah, kini saya dapat membantu isteri me­nguruskan penjualan madu kelulut dan bawang tunggal yang menjadi sumber pendapatan keluarga,” kata penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN