PETALING JAYA: Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) perlu diberi peluang mengemukakan cadangan nama hakim atasan tanpa campur tangan Perdana Menteri.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, ini kerana SPK dianggotai sembilan individu yang layak termasuk Ketua Hakim Negara.
Katanya, pelantikan tanpa penglibatan Perdana Menteri itu amat penting bagi memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi tersebut.
“Mengikut Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695), SPK mengsyorkan nama calon kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi Perdana Menteri. Mungkin pada peringkat ini nama yang tidak dipersetujui akan ditukar.
“Justeru, pindaan akta perlu dibuat bagi memastikan nama calon dari SPK dihantar terus dan dilantik Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sebarang campur tangan dalam SPK adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 34 Akta SPK yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Katanya, tiada mana-mana pihak selain SPK dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim di mahkamah tinggi.
Dalam pada itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer berkata, SPK perlu mempunyai wakil daripada Majlis Peguam, Persatuan Peguam Sabah dan Sarawak Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Raja-raja.
Menurutnya, ia akan meningkatkan ketelusan dalam pelantikan jika cadangan ini diikuti dengan penglibatan anggota yang relevan.
Mengenai tempoh perjawatan serta pengalaman bagi melantik Ketua Hakim Negara, Hamid Sultan berkata, kekananan boleh tidak dijadikan kriteria sama sekali jika seseorang hanya berkelulusan ijazah asas sebagai pengamal undang-undang. – UTUSAN










