Hakim gantung projek minyak di Falkland - Utusan Malaysia

Hakim gantung projek minyak di Falkland

GAMBAR menunjukkan medan minyak Sea Lion. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Seorang hakim Argentina pada Rabu mengarahkan penggantungan projek mi­nyak Britain-Israel berhampiran Kepulauan Falkland.

Britain dan Argentina berperang selama 10 minggu dalam konflik singkat tetapi sengit pada 1982 berhubung kepulauan di Atlantik Selatan itu, yang dikenali rakyat Argentina sebagai Las Malvinas.

Keputusan sementara yang di­keluarkan mahkamah di wi­layah paling selatan Argentina, Tierra del Fuego, itu dibuat susulan saman yang difailkan oleh veteran perang 1982 dan peguam alam sekitar awal bulan ini.

Plaintif memohon supaya sya­rikat Britain, Rockhopper Exploration dan syarikat Israel, Navitas Petroleum dihalang daripada meneruskan projek di medan minyak Sea Lion, yang terletak kira-kira 220 kilometer dari kepulauan berkenaan.

Hakim mengarahkan syarikat berkenaan supaya tidak memulakan, meneruskan, me­laksanakan atau menyebabkan pelaksanaan sebarang tindakan material yang melibatkan pe­nggerudian, pemasangan infrastruktur atau pengeluaran hidrokarbon, menurut keputusan mahkamah yang dilihat AFP.

Selain itu, penggantungan tersebut berkuat kuasa sehingga prosedur penilaian impak alam sekitar dilaksanakan di hadapan pihak berkuasa negara yang berwibawa dalam perkara berkaitan alam sekitar.

Hakim memberi tempoh 10 hari kepada pihak terbabit untuk mengemukakan maklumat termasuk butiran mengenai status projek, kontraktor dan pihak yang membiayainya.

Pentadbiran Presiden Javier Milei turut mengambil tindakan undang-undang terhadap projek berkenaan.

Beliau memberi alasan ia me­langgar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa kedua-dua pihak menghentikan tindakan unilateral.

Perang 1982 itu berakhir de­ngan Argentina menyerah kalah selepas 74 hari konflik yang mengorbankan 649 rakyat Argentina dan 255 anggota tentera Britain. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×