KKM ambil tindakan segera isu tekanan di tempat kerja

KKM ambil tindakan segera isu tekanan di tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan segera dalam menguruskan isu berkaitan tekanan di tempat kerja susulan hasil dapatan pasukan petugas khas bebas yang menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, mendiang Dr. Tay Tien Yaa pada Ogos tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menyedari isu tersebut adalah menonjol berdasarkan siasatan yang dijalankan.

“Saya hanya mengulangi apa yang Tan Sri (Borhan Dollah) sebutkan dan pelaporan yang dibuat kepada kami. Saya (juga) sangat insaf dan sedar akan tekanan kerja yang didepani dan ditanggung oleh mendiang Dr. Tay itu menjadi (punca) utama yang muncul da­ripada dapatan siasatan ini.

“Saya sebagai menteri pasti­nya ke depan nanti, saya akan mengambil tindakan khasnya dalam apa yang disebut sebagai situasi yang sumbernya terhad, berban­ding mendiang yang bekerja di HKL dahulu (dan) berpindah ke Hospital Lahad Datu yang (mempunyai) sumber terhad, itu lah antara sebab dan punca utama stress dan tekanan kerja yang didepani oleh beliau.

“Saya akan mengambil tindakan untuk menyusuli dan memperbaiki keadaan sebegitu,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini semalam.

Terdahulu, pasukan petugas khas bebas yang menyiasat insiden kematian tersebut mendedahkan bahawa dakwaan berhubung mendiang Dr. Tay ditindas dan dizalimi di tempat kerja adalah tidak berbangkit.

Tan Sri Borhan Dollah yang mempengerusikan pasukan itu berkata, seramai 19 orang saksi telah ditemu bual yang terdiri daripada empat ahli keluarga, 11 kakitangan Hospital Lahad Datu termasuk empat saksi lain serta ketua jabatan patologi.

Dalam pada itu, Dzulkefly mengesahkan bahawa laporan petugas khas itu telah dikemukakan kepada keluarga men­diang Dr. Tay.

“Ya, saya sangat memahami dan kita semua boleh memahami yang pastinya (menjadi) bebanan emosi (kepada keluarga). Saya memahami dan sedar sukarnya keluarga untuk menerima dapatan seperti mana yang disebutkan oleh jawatankuasa bebas ini,” katanya.

Dzulkefly turut menegaskan beliau tidak akan berkompromi dalam apa jua bentuk perlakuan buli dan akan membanteras itu tersebut secara habis-habisan.

“Saya sekali lagi menegaskan sebagai menteri yang kali kedua mengemudi kementerian ini, pastinya tidak akan berkompromi dengan apa jua dakwaan buli dan itu adalah sangat pen­ting untuk saya pastikan, walau apa pun keputusan dan pemakluman pada kali ini, saya tetap akan mengangkat isu menangani dan membanteras fenomena buli ini.

“Yang jelasnya daripada pentakrifan pakar yang mengemudi pasukan ini, dakwaan tentang buli itu tidak tidak mengisi atau tidak memenuhi takrifan buli, tetapi terkait dengan beberapa faktor yang disebutkan oleh Tan Sri (Borhan) sebentar tadi (mengenai) tekanan kerja yang sangat menekan jiwa mendiang Dr. Tay,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×