PETALING JAYA: Kerajaan perlu ambil peduli dengan setiap teguran yang dibuat berhubung perhimpunan antirasuah esok.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, ini kerana teguran tersebut kebanyakannya datang daripada pemimpin parti yang menyokong kerajaan dan mereka yang turun pada setiap demonstrasi sewaktu Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang.
Katanya, teguran tersebut disifatkan berasas, sekali gus kerajaan wajar mengambil tindakan daripada setiap pandangan yang dikemukakan kerana saranan tersebut bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan.
“Jika kerajaan terus melarang, ia mungkin menjadi satu perkara yang akan digunakan untuk menyerang dan mengkritik pentadbiran sedia ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Perhimpunan yang akan diadakan esok dianjurkan oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah yang turut mendapat sokongan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan mahasiswa dan akan bermula di luar pusat beli belah Sogo sebelum peserta menuju ke Dataran Merdeka.
Polis bagaimanapun berkata, perhimpunan itu melanggar Akta Perhimpunan Aman, dengan alasan penganjur perlu mendapat kebenaran daripada pemilik premis.
Kenyataan itu turut disokong Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Malah, kenyataan sama turut dikeluarkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sambil menegaskan perkara tersebut telah ditetapkan oleh undang-undang sedia ada termasuk permit berhimpun dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas lanjut, Khalid berkata, kerajaan boleh membenarkan perhimpunan tersebut diadakan, namun meletakkan syarat munasabah yang perlu dipatuhi semua pihak.
“Saya sokong hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, peranan polis sepatutnya mengawal keadaan dan berikan permit kepada mereka, dalam masa yang sama tetapkan syarat supaya tidak melanggar peraturan.
“Dulu kita sertai mana-mana perhimpunan sewaktu zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak..mana pernah dapat permit. Tetapi, sudah menjadi ‘budaya’ sejak dahulu kita perlu menghadapi apa sahaja cabaran kerana itu adalah perkara yang kita perjuangkan,” ujarnya.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula, nama baik Kerajaan Madani akan menjadi buruk jika menekan hak rakyat untuk berhimpun.
Maka sebab itu, kerajaan Madani tidak seharusnya menyusahkan rakyat yang mahu berhimpun secara aman lebih-lebih lagi bagi tujuan menyatakan hasrat mereka benci pada rasuah. – UTUSAN










