PETALING JAYA: Jumlah kanak-kanak buta huruf di Gaza dijangka mencecah sejuta orang susulan konflik peperangan yang berlarutan 15 bulan lalu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Palestin yang memiliki kadar buta huruf paling rendah di dunia Arab dengan kadar 2.2 peratus dijangka meningkat jika akses kepada pendidikan tidak dipulihkan dengan serta-merta.
Katanya, tanpa pendidikan berterusan, masa depan kanak-kanak di Gaza menjadi tidak menentu ditambah pula kesukaran memperoleh pekerjaan yang baik menyebabkan kitaran kemiskinan sukar untuk diputuskan.
“Kesan kepada keciciran pendidikan akan membawa kepada peningkatan kadar buta huruf dan kesan psikososial dalam kalangan kanak-kanak jika akses pendidikan tidak dipulihkan dengan serta merta.
“Keciciran dalam pendidikan akan memberi kesan yang mendalam terhadap kanak-kanak di Gaza di masa akan datang apabila pada tahun lalu, dilaporkan 650,000 pelajar di semenanjung Gaza tidak mendapat akses pendidikan.
“Kehilangan pendidikan dan persekitaran pembelajaran yang selamat juga boleh menyebabkan trauma psikologi, gangguan emosi, dan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA); Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dalam kenyataan bersama mengesahkan jumlah keciciran pelajar di wilayah itu.
Menurut agensi itu, banyak sekolah yang ditutup selepas 75 peratus daripadanya rosak dan musnah dibedil rejim Zionis.
Sehubungan itu, Mohd. Azmi menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya membantu mengatasi masalah keciciran pendidikan di Gaza.
Menurutnya, OIC perlu bekerjasama bagi membina semula infrastruktur pendidikan, memberi sokongan psikososial, serta penyediaan sumber pendidikan alternatif.
“Negara-negara OIC perlu memberikan bantuan kewangan dan teknikal untuk membina semula sekolah-sekolah yang musnah dan memastikan kemudahan pendidikan yang selamat dan kondusif serta program sokongan psikosoial untuk kanak-kanak dan guru bagi menangani trauma akibat peperangan di negara itu.
“Selain itu, inisiatif bagi membangunkan pendidikan alternatif seperti kelas sementara atau program pendidikan komuniti dapat memastikan kesinambungan pembelajaran,” katanya. – UTUSAN










