PASIR PUTEH: Lebih 30 peniaga warung dan pengusaha keropok di Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Pachakan di sini, diselubungi resah apabila mendakwa premis mereka bakal lenyap ditelan hakisan.
Andaian itu berasas apabila jarak pantai dengan premis hanya tinggal 50 meter dan situasi tersebut memberi kesan kepada perniagaan mereka.
Seorang perniaga, Shila Ghazi berkata, sekiranya langkah segera tidak diambil terutama pembinaan benteng, kemungkinan besar Pantai Bisikan Bayu lenyap dari peta destinasi pelancongan Kelantan.
“Disebabkan hakisan ini, kami hilang mata pencarian dan tidak dapat meneruskan operasi kerana melibatkan soal keselamatan pelanggan. Besar harapan kami agar masalah ini segera diselesaikan bagi memastikan peniaga boleh mencari rezeki untuk menyara keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengusaha kilang keropok Pantai Pachakan, Asmalaili Kedah berkata, premis itu turut berdepan masalah sama dan berharap kerajaan segera bertindak termasuk membina penghadang ombak bagi mengelak kerugian harta benda sepertimana yang telah dialami.
“Saya masih meneruskan usaha menambah guni pasir untuk menghadang ombak menghempas dinding kilang. Tanpa usaha drastik bangunan ini pun bakal roboh pada musim laut bergelora hujung tahun ini,” katanya.-UTUSAN










