PETALING JAYA: Pemimpin DAP khususnya mereka yang berada dalam barisan Kabinet tidak terlibat sebarang isu Titah Adendum.
Malah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tidak ada Ahli Lembaga Pengampunan yang terdiri daripada wakil DAP dan isu tersebut merupakan urusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang cuba mengheret DAP dalam isu Titah Adendum dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Tindakan ini merupakan mainan politik ulangan Pas yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu dengan slogan ‘Semua Salah DAP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menyelar Kerajaan Perpaduan dengan mendakwa mengkhianati konsep Raja Berperlembagaan.
Siew Fook berkata, taktik politik kotor Pas mengaitkan itu dengan DAP bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar serta memecahkan Kerajaan Perpaduan.
“Saya menyeru rakyat Malaysia yang menghargai kestabilan politik pada masa kini untuk menolak sekeras-kerasnya politik murahan yang dibawa Pas,” jelasnya.
Menurut Siew Fook, DAP akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar dan yakin dengan keikhlasan semua gabungan dalam kerajaan untuk menolak cubaan Pas mengganggu gugat kestabilan negara. – UTUSAN









