MARANG: Seorang kanak-kanak lelaki kacukan Melayu-Perancis berusia empat tahun mencuri tumpuan menjadi peserta termuda Program Khatan Perdana 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di sini, kelmarin.
Lucas Isa Ahmad yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Noraini Anwar, 37, dan Danial Benoit Julian, 40, antara 116 peserta yang terlibat dalam program di Masjid Rhu Muda itu.
Ibunya menetap di Perancis sebagai suri rumah sejak 2017 setelah berkahwin dengan Benoit Julian yang merupakan seorang jurutera dan kepulangan Lucas ke Malaysia adalah kali yang ketiga.
Noraini yang berasal dari Kampung Tok Fakir, di sini berkata, dia sekeluarga pulang ke Malaysia pada Oktober lalu dan tidak menyangka anaknya berpeluang menyertai tradisi berkhatan beramai-ramai ramai.
“Sewaktu di Perancis saya selalu bagitahu Lucas, kalau Allah izinkan, dia akan berkhatan di Malaysia walaupun tidak begitu memahami lagi mengenainya.
“Syukur ia jadi kenyataan sempena kepulangan ke Malaysia kali ini. Saya tahu tentang khatan perdana ini daripada ibu saudara, tentunya saya dan suami tidak mahu lepaskan peluang apatah lagi tradisi khatan beramai-ramai ini tiada di Perancis,” katanya.
Noraini berkata, suasana kemeriahan itu bukan sahaja meninggalkan pengalaman berharga bagi anaknya tetapi suaminya kerana pertama kali melihat tradisi khatan termasuk acara siraman air bomba.-UTUSAN










