Rakyat Malaysia saksi serangan pemberontak dan tentera Bashar

Rakyat Malaysia saksi pertempuran antara pemberontak dan tentera Bashar

KONFLIK Syria berakhir kelmarin.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia di Syria masih trauma biarpun pertempuran antara pembangkang dan tentera Kerajaan Bashar Al-Assad berakhir. 

Menurut penuntut Universiti  Bilad Al Sham, Ahmad Fawaz Naufal Aswad 18, perasaan takut masih menyelubungi dirinya  kerana menyaksikan sendiri bunyi tembakan mesingan dan raifal dilepaskan secara rambang  dan jelas kedengaran hampir setiap masa, menyebabkan hanya berdiam diri dan berlindung di dalam rumah.

AHMAD FAWWAZ

Bagi pelajar dalam jurusan Undang-Undang Syariah itu, namun dia mengambil langkah berjaga-jaga sehingga ke satu tempoh sehingga keadaan stabil dan selamat.

“Sehingga sekarang kami masih berdiam di rumah masing masing kerana masih ada tembakan rambang. Penduduk meraikan kemenangan mereka dengan melepaskan tembakan ke udara. 

“Begitu juga keadaan bandar dan kawasan-kawasan berhampiran sesak. Mereka berhimpun dan berkumpul dengan kejayaan penaklukan ke atas kerajaan Bashar Al-Assad di  jalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. 

Pemerintahan rejim Bashar selama 24 tahun berakhir selepas bandar utama negara itu jatuh ke tangan kumpulan pemberontak dalam tempoh sehari pertempuran selepas kumpulan pemberontak pimpinan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) Abu Mohamed al-Golani membuat pengisytiharan menawan Damsyik dalam serangan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fawwaz ketika ditanya tentang detik kejatuhan Bashar berkata,  pensyarah di universiti telah memberitahunya supaya pulang ke rumah sehari sebelum terjadinya pertempuran. 

“Pensyarah sudah beritahu kami supaya pulang segera ke rumah dan dinasihatkan supaya tidak ke mana-mana, selain bersiap sedia membeli barangan keperluan.

“Apabila tiba waktu malam, kami menunggu dalam rumah yang gelap gelita kerana bekalan elektrik sudah terputus sejak waktu pagi lagi. Apa yang ada hanya telefon bimbit dengan bateri yang terhad untuk berhubung sekiranya berlaku kecemasan. 

“Selepas Isyak, mula kedengaran bunyi tembakan dan letupan secara sayup sehinggalah semakin lama semakin menghampiri kediaman kami di kawasan berbukit kerana ia terletak berhampiran kawasan tentera,” ujarnya yang antara 37 pelajar dan lima rakyat Malaysia di Syria.

Sementara itu, tinjauan pejabat Kedutaan Syria di Malaysia di Jalan U Thant, Kuala Lumpur masih beroperasi seperti biasa meskipun berlaku perubahan kepimpinan di negara asal mereka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN