PETALING JAYA: Konflik berpanjangan di Syria membuka episod baharu dalam senario politik Asia Barat apabila kedudukan Presiden Bashar al-Assad semakin tergugat, manakala pengaruh Iran sebagai sekutu utamanya turut menerima tamparan hebat.
Menurut geostrategis antarabangsa, Dr. Azmi Hassan, kelemahan Iran jelas terpancar berikutan tekanan yang dikenakan terhadap proksi utamanya di rantau itu, termasuk Hezbollah dan Hamas.
Episod ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan Bashar tetapi turut memberi implikasi besar terhadap perjuangan rakyat Palestin, yang selama ini mendapat sokongan langsung atau tidak langsung daripada Teheran melalui saluran proksi tersebut.
“Konflik ini telah melemahkan peranan Iran di Syria dan Asia Barat. Hezbollah, sebagai tulang belakang kepada pengaruh Iran di rantau ini juga hampir ditewaskan.
“Begitu juga Hamas, yang menghadapi tekanan berat. Situasi ini menyebabkan Iran tidak mampu membantu Bashar secara efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azmi juga berkata, keadaan ini membuka peluang kepada Israel untuk memperkukuh kedudukannya apabila mereka menjadi pihak yang paling banyak meraih keuntungan daripada konflik ini.
Beliau juga menambah bahawa walaupun rakyat Syria dianggap sebagai pihak yang paling diuntungkan kerana berpeluang menentukan hala tuju negara mereka tanpa campur tangan asing, realitinya tidak semudah itu.
“Jika Hamas tidak diberi peluang mentadbir Gaza, adakah HTS akan diberikan ruang untuk menentukan masa depan Syria? Ini adalah cabaran besar,” katanya.










