SABAK BERNAM: Karnival Ban Canal 2024 pada kemuncak penganjurannya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pengunjung sama ada penduduk tempatan ataupun pelancong menerusi pelbagai aktiviti seperti Larian Santai @ Bendang, pertandingan Silambam dan tarian singa.
Pada sebelah pagi, karnival dimulakan dengan Larian Santai @ Bendang dengan penyertaan seramai 1,075 orang sepanjang lima kilometer yang mengangkat warisan dan kebudayaan setempat apabila peserta berpeluang menonjolkan gaya hidup komuniti tempatan.
Seorang peserta, Shahri Nizam Sapori, 45, dari Teluk Intan, Perak memberitahu, Larian Santai @ Bendang amat sesuai sebagai aktiviti untuk seisi keluarga dan boleh mendidik anak mengenai kehidupan masyarakat di kawasan sawah padi.
“Saya dapat tahu tentang aktiviti itu daripada mesej dalam kumpulan WhatsApp di tempat kerja. Jadi, saya ambil peluang untuk sertai bersama keluarga dengan mengenakan pakaian laksana seorang pekebun dan juga nelayan. Memang menyeronokkan dan menanti kalau ada peluang lagi tahun depan,” kongsinya.
Bagi, Mohd. Samsi Masri, 45, dari Tanjong Karang, dia hadir bersama-sama keluarga adiknya di Karnival Ban Canal yang diketahuinya sudah dianjurkan kali ketiga namun baru berpeluang menyertai acara larian tersebut.
“Saya bawa keluarga dan ajak adik datang dengan keluarganya juga. Kami mengenakan pakaian bertemakan nelayan. Memang kami sekeluarga selalu sertai program larian, cuma kali ini istimewa di Karnival Ban Canal, kami betul-betul ikut tema,” ujarnya.
Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan pertandingan Silambam yang disertai 70 pelajar dari Persatuan Adithada berusia lima hingga 25 tahun yang terdiri daripada tujuh kumpulan.
Seorang peserta dari Shah Alam, S. Sachien, 19, dan Paveerna Punithan, 13, memberitahu, mereka teruja dapat datang ke Sabak Bernam untuk menyertai pertandingan silambam pada Karnival Ban Canal.
“Silambam sebagai salah satu identiti masyarakat India amat unik kerana mempunyai disiplin yang ketat dan kepelbagaian teknik. Bila dapat datang ke Karnival Ban Canal, selain melihat budaya dan cara hidup masyarakat di sana, kami pula mempamerkan silambam kepada mereka,” kongsi mereka.
Kemudian, pengunjung dipertontonkan tarian singa daripada Persatuan Tarian Singa Hong Teik Sekinchan yang mana dua ekor ‘singa’ mereka dibawa mengunjungi ke setiap gerai dan reruai pameran.
Menurut jurulatih persatuan itu, Tiew Jing Hock, 36, persembahan dilakukan oleh 10 ahlinya bagi menunjukkan kepelbagaian kebudayaan yang terdapat di Anjung Utara Selangor terutama Sekinchan dan Sungai Besar yang berada dalam jajaran Ban Canal.
“Memang ada kepelbagaian kebudayaan di Sabak Bernam. Seperti orang Melayu, komuniti Cina dan India di Sekinchan juga ada yang bersawah sementara Ban Canal adalah nadinya. Bila ada Karnival Ban Canal, ia amat sesuai sebagai tempat memupuk perpaduan, kita sama-sama raikannya,” ujarnya.
Kemudian, malam semalam pengunjung turut disajikan dengan persembahan artis seperti Zaki Yamani, Aepol Roza, Ameng Spring, Fieya Julia, Aiman Tino dan Ara Johari dalam Konsert Karnival Ban Canal yang menampilkan pengacara Haiza dan Hanif Miswan.
Karnival Ban Canal anjuran Menteri Besar Selangor (MBI) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program selama enam hari sejak Selasa lalu sehingga hari ini.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang penganjurannya termasuk jualan hasil tani tempatan, wall climbing, flying fox, Jualan Ehsan Rahmah dan saringan kesihatan percuma.
Hari ini, pelbagai acara masih terus berlangsung seperti Kayak Fishing, serta pertandingan sukan air yang akan menyaksikan penyampaian piala juara kepada pemenang setiap tiga kategori pada majlis penutupnya. –UTUSAN










