Dulu ambil upah kini tauke pisang

Dulu ambil upah kini tauke pisang

Seorang pekerja warganegara Bangladesh mengangkut pisang dari kebun yang diusahakan di tanah yang disewa daripada penduduk di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Daripada seorang pekerja biasa, seorang lelaki dari Bangladesh kini bergelar ‘tauke’ apabila mengusahakan tanaman pisang di tanah milik penduduk kampung di daerah ini.

Dia yang hanya mahu dikenali Musa, 50, berkata, menerusi pe­ngalamannya yang pernah be­kerja di kebun pisang penduduk di sini, dia mula mengusahakan tanaman itu sendiri.

Musa, yang memiliki dokumen perjalanan lengkap untuk masuk ke negara ini sudah mempunyai pekerja yang terdiri daripada warganegara dari negaranya sendiri.

Katanya, pada mulanya dia cuba menanam pisang di atas tanah seluas 0.4 hektar yang disewa daripada penduduk kampung.

Jelasnya, hasil yang memuaskan daripada tanaman itu mendorongnya meluaskan lagi keluasan tanamannya.

“Pada mulanya saya tanam pisang pisang berangan dan tidak sangka hasilnya baik dan ini mendorong saya meluaskan lagi tanaman ini.

“Saya menyewa tanah penduduk kampung yang terbiar, yang tidak diusahakan. Daripada 0.4 hektar, bertambah kepada dua hektar dan sekarang sudah ada lapan hektar.

“Tanah yang saya sewa bukan setempat tetapi di beberapa buah kampung di daerah ini dengan tempoh sewaan berbeza-beza mengikut persetujuan pemilik tanah, ada yang dipajak tiga tahun, ada juga juga yang disewa 10 tahun.

“Kerana keluasan tanaman yang semakin bertambah, saya mengupah beberapa pekerja dari negara saya sendiri untuk kerja-kerja di kebun,” ujarnya.

Katanya, pisang yang ditanam dijual di luar daerah ini terutama peraih dari Kuala Lumpur yang mendapat permintaan tinggi.

“Biasanya pemborong datang mengambil pisang di sini dan setakat ini tiada masalah dari segi pasaran yang sentiasa tinggi ter­utama pisang berangan,” katanya.

Menurutnya, usahanya itu dapat mengelak tanah terbiar daripada terus terbiar tanpa dimanfaatkan selain dapat memberikan hasil kepada pemilik melalui bayaran sewaan atau pajakan.

Katanya, dia tidak menceroboh tanah milik sesiapa untuk meng­usahakan tanaman pisang.

Jelasnya, dia datang ke negara ini untuk mencari rezeki yang halal dan apa yang dilakukan secara tidak langsung dapat membekalkan keperluan pasaran pisang tempatan.

“Saya percaya orang tempatan tidak menghalang saya mengusahakan tanaman ini kerana tanah mereka yang selama ini terbiar, saya pajak dan usahakan dengan tanaman pisang secara tidak langsung mereka dapat juga wang sewaan tanah.

“Saya bukannya menceroboh tanah atau mencuri hasil tanaman penduduk,” katanya.

Musa mengakui sebelum ini dia melalui tempoh sukar ketika tiba di negara ini dengan me­lakukan pelbagai kerja termasuk menjual karpet di kawasan kampung dengan mengayuh basikal.

Katanya, ketika itu walaupun berniaga dari pagi hingga petang, dia hanya mendapat sedikit komisyen daripada karpet yang berjaya dijual.

“Saya juga pernah ikut kawan ambil upah kerja sawah seperti menabuh benih padi, membaja dan meracun di sawah di kawasan Sungai Manik, Teluk Intan.

“Saya juga mengambil upah bekerja di kebun kelapa di sini dan menjaga kebun pisang penduduk. Dari situ saya belajar bagaimana berkebun pisang dan cuba menanam sendiri sehingga sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN