KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memajak helikopter untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain dengan kontrak bernilai RM16.5 bilion bagi tempoh 15 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun nilai kontrak dilihat tinggi tetapi jumlah itu meliputi kos keseluruhan termasuk penyelenggaraan.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengelak beban kewangan tidak menentu pada masa depan.
SYARAT
“Tetapi syaratnya adalah latihan mestilah di sini, pemindahan teknologi di sini, kita gunakan Lapangan Terbang Batu Berendam sebagai pusat dan kilang, itu syarat yang kita kenakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Onn meminta Perdana Menteri menjelaskan dasar kerajaan berhubung sewaan helikopter itu sama ada akan diguna pakai kepada aset lain seperti jet pejuang.
Di bawah kontrak pajakan itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima dua buah helikopter manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjadi penerima terbesar dengan 12
buah helikopter.
Polis Diraja Malaysia akan menerima tujuh buah helikopter, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (empat buah), Jabatan Bomba dan Penyelamat (dua buah) dan Jabatan Perdana Menteri akan menerima sebuah helikopter.
Anwar berkata, pajakan pembelian itu juga tidak dilaksanakan secara tender terbuka antarabangsa, sebalik secara kerajaan dengan kerajaan yang lebih telus.
“Tidak ada ejen, tidak ada runding terus dan tentunya kita akan bagi keutamaaan syarikat negara yang ada rekod dan prestasi memuaskan dan tidak pergi kepada syarikat luar negara,” katanya.
Menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) tentang keperluan isu pajakan helikopter dibawa ke Jawatankuasa Parlimen, Perdana Menteri menegaskan, tidak ada negara di dunia yang membincangkan soal keperluan teknikal keselamatan secara umum.
BAHAS
“Itu pun kita sudah umumkan setakat yang boleh diumumkan. Apa keistimewaan setiap helikopter itu, saya tidak fikir ia boleh dibahaskan Jawatankuasa Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan, Malaysia tetap dengan pendirian untuk menentang genosid walaupun tidak menandatangani Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948 (Konvensyen Genosid).
Beliau berkata, Malaysia tidak menandatangani konvensyen itu atas beberapa sebab yang saling terkait dengan Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Antara sebab-sebab lain, katanya, ialah ia melibatkan perkara seperti hak bumiputera dan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ).
“(Perkara itu) juga telah ditimbulkan oleh Raja-raja Melayu,” katanya.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen rentas parti boleh membincangkan soal Statut Rom.
Mengulas mengenai isu genosid, Anwar berkata, pendirian Malaysia berhubung perkara tersebut adalah jelas.
Katanya, dalam pertemuan dengan Presiden Colombia, Gustavo Petro sebelum ini, beliau turut menyokong pendirian kita dan tegaskan bahawa genosid tetap genosid.
“Walaupun (begitu), saya harus nyatakan kita ada sedikit kebimbangan melihat kepada suasana dan peruntukan Perlembagaan kita dan pendirian Raja-raja Melayu,” katanya. – UTUSAN










