PETALING JAYA: Bekalan insulin kepada pesakit kencing manis di fasiliti kesihatan awam terutama di beberapa negeri didakwa kritikal sehingga agihan kepada pesakit terpaksa dicatu.
Perkara tersebut didakwa berlarutan sejak Ogos lalu dan keadaan itu belum pulih apabila timbul rungutan dalam kalangan pesakit yang jika sebelum ini mereka dibekalkan dengan empat unit insulin untuk tempoh sebulan namun ketika ini hanya dua unit untuk tempoh seminggu.
Masalah kekurangan bekalan insulin banyak didakwa dialami di fasiliti kerajaan terutamanya di negeri-negeri Lembah Klang seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan di kawasan Pantai Timur di Pahang.
Masalah tersebut disyaki berlaku di peringkat pembekal sehingga menjejaskan bekalan dan isu ini mula dikesan sejak Ogos lalu.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kepayahan untuk mendapat bekalan insulin untuk menstabilkan diabetes seseorang individu dibimbangi mengancam nyawa pesakit.
Ini kerana sebelum bekalan ubat itu dicatu untuk kegunaan ramai, seorang pesakit hanya perlu datang ke hospital sebulan sekali dengan empat unit insulin untuk mendapatkan bekalan yang boleh digunakan untuk tempoh sebulan.
Bagaimanapun, kata sumber itu, ketika ini, pesakit perlu datang lebih kerap ke fasiliti kesihatan bagi mendapatkan dua unit insulin untuk dua minggu.
Mengikut data Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes kelima tertinggi di dunia.
Data yang dikumpul sehingga tahun 2021 itu menunjukkan seramai 4,431,500 jumlah kes diabetes pada orang dewasa iaitu 20 peratus kelaziman diabetes pada orang dewasa direkodkan di negara ini.
Sumber itu berkata, berlaku kekurangan bekalan insulin yang semakin kritikal di kawasan dia bertugas sehingga terpaksa mencatu bekalan tersebut kepada seminggu hingga dua minggu sekali.
“Negara kita sekarang memang ada masalah kekurangan insulin di tahap merah, disebabkan masalah daripada pembekal.
“Kalau dulu kita boleh bagi stok insulin kepada pesakit sebulan sekali, tapi sekarang hanya mampu beri seminggu atau dua minggu sekali sahaja disebabkan kekurangan bekalan,” katanya.
Pada Ogos lalu, media melaporkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kementerian bersedia menawarkan kontrak tambahan untuk perolehan farmaseutikal pada awal tahun depan bagi memastikan kestabilan bekalan ubat di negara ini, khususnya insulin manusia.
Beliau berkata, langkah itu susulan gangguan bekalan insulin manusia pada Ogos lepas yang mendorong kementerian mengambil tindakan segera.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, sekiranya perkara ini berlarutan, lebih ramai pesakit kencing manis akan mengalami komplikasi lebih teruk dan tidak terkawal.
“Pesakit diabetes yang tidak dirawat dengan sempurna akan meningkatkan risiko komplikasi yang lebih teruk seperti koma, pengsan dan sebagainya,” jelasnya.
Menerusi satu tinjauan Utusan Malaysia, beberapa pesakit turut menghadapi masalah yang sama apabila mereka mengadu sukar mendapatkan insulin.
Alia Husna Mukhtar, 30, dari Selangor berkata, dia sering menghadapi kesukaran mendapatkan insulin di klinik kesihatan berhampiran tempat tinggalnya.
“Saya perlu bergantung kepada insulin setiap hari kerana menghidap diabetes jenis satu.
“Namun, sejak beberapa bulan lalu, ada kalanya bekalan insulin habis, dan saya terpaksa membeli di farmasi swasta dengan harga ebih mahal,” katanya.
Seorang lagi pesakit diabetes di Pahang, Fariha Md. Noor, 45, berkata, dia perlu datang seminggu sekali ke klinik kesihatan untuk mendapatkan insulin.
Sementara itu, seorang lagi pesakit, Asimah Mohd. Yusof memberitahu, di Melaka bekalan insulin masih terkawal.
“Setakat ini, bekalan insulin belum pernah terputus atau dicatu seperti di kawasan bandar,” ujarnya.










