KUANTAN: “Mungkin ajal sudah ‘panggil’, sebab itu mereka tidak boleh tidur hotel dan kena balik segera.”
Demikian kata ibu kepada Mohd. Fadli Mohd. Abidin, 42, lelaki yang maut bersama isterinya dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan jentera pengorek tanah yang diletakkan di bahu jalan, berhampiran Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Batu 10 Jalan Kuantan-Maran di sini, semalam.
Mariah Fadil, 66, berkata, lazimnya anak dan menantunya, Rohafiza Taha, 50, serta anak mereka akan bermalam setiap kali berjalan jauh.
Namun, katanya, ia berbeza kali ini apabila mereka memilih segera pulang ke rumah di Kemaman, Terengganu selepas ke Melaka pada Jumaat untuk berubat.
“Biasa mereka tidur dulu sebelum balik, tetapi semalam mereka terus pulang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Menurut Mariah, dia tidak mengetahui tentang rancangan anak sulungnya untuk berubat di Melaka.
“Dia (Mohd. Fadli) tak beritahu, (tapi) saya hanya diberitahu setelah menerima panggilan daripada Balai Bomba Taman Tas ahawa anak dan menantu saya maut.
“Cucu saya pula cedera parah dan masih tidak sedarkan diri. Saya reda kerana semua Allah tentukan, (kerana) kita hanya (mampu) merancang,” katanya yang menetap di Muar, Johor.
Bercerita lanjut, Mariah berkata, Mohd. Fadli yang merupakan bekas anggota bomba terpaksa memilih bersara awal akibat menghidap penyakit jantung dua tahun lalu dan perlu memberi tumpuan kepada pemulihan menyebabkan mereka jarang bertemu.
“Sukar untuk menggambarkan rasa kehilangan ini, kerana selain Mohd. Fadli, Rohafiza juga merupakan insan yang baik dalam keluarga kami,” katanya sebak.
Pasangan suami isteri dilaporkan maut manakala anak mereka berusia 11 tahun cedera dalam kemalangan berhampiran Kem TUDM di Batu 10 kira-kira pukul 2 pagi.
Mohd. Fadli dan Rohafiza yang merupakan guru meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak kepada pasangan itu, Mohd. Osman Wafi, 11, pula cedera pada bahagian muka dan kepala. – UTUSAN










