GEORGE TOWN : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi agensi perumahan mampu milik utama mereka iaitu Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berjaya menyiapkan fasa pertama bagi Residensi Bukit Gelugor (Ideal Residency) lebih awal daripada tarikh asal.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek yang melibatkan 1,218 unit kediaman itu merupakan projek PR1MA terbesar di Pulau Pinang dan telah siap sepenuhnya pada 22 Ogos lalu iaitu kira-kira setahun lebih awal berbanding sasaran penyiapannya pada bulan Ogos tahun depan.
“Projek ini merupakan usaha sama antara PR1MA dengan Ideal Capital Venture Sdn Bhd dan ia mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah lebih RM365 juta.
“Projek ini juga telah menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 22 Ogos 2024. Setakat 30 September lalu, sebanyak 1,198 unit (kediaman) telah terjual,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan kunci projek perumahan tersebut di sini, hari ini.
Seramai 20 orang pembeli kediaman tersebut telah menerima kunci rumah mereka Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S.Sundarajoo; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff serta Pengerusi Ideal Property Group, Tan Sri Alex Ooi Kee Liang.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, harga yang ditawarkan untuk kediaman Ideal Residency itu adalah pada RM300,000 bagi setiap unit yang berkeluasan kira-kira 850 kaki persegi.
“Setiap unit menyediakan sebuah ruang yang moden dan selesa untuk pembeli dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta sebuah balkoni. Setiap unit juga telah dipasangkan dengan gajet pintar agar penghuninya dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi di kediaman mereka,” katanya.
Tambah beliau, projek itu turut mempunyai pelbagai kemudahan dan fasiliti komuniti yang menggalakkan penduduk untuk membina sebuah komuniti dan persekitaran yang harmoni.
“Antara fasiliti yang disediakan termasuk gelanggang badminton dan bola keranjang, trek joging, kolam renang untuk orang dewasa dan kanak-kanak, jakuzi, gimnasium ‘indoor’ dan ‘outdoor’, kawasan permainan kanak-kanak, ruang kerja guna sama, bilik permainan, dewan serbaguna, surau, taman komuniti, astaka BBQ, dek pandangan serta bilik yoga.
“Secara keseluruhannya, projek perumahan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan, melalui PR1MA, untuk mewujudkan kediaman yang selesa dan memenuhi permintaan, serta mampu dimiliki rakyat terutamanya di Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN










