PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertekad akan berusaha keras untuk membasmi rasuah di negara ini selain membantu memperbaiki tatakelola dalam perkhidmatan awam dalam mengurangkan rasuah dan ketirisan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pengumuman Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar peningkatan peruntukan RM360 juta kepada SPRM suatu pemangkin semangat kepada kami untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
Kata beliau, SPRM akan memberikan komitmen tinggi dalam meningkatkan integriti dalam kalangan penjawat awam.
“Pengumuman ini menunjukkan iltizam Perdana Menteri dalam agenda membanteras rasuah di Negara ini serta meningkatkan integriti, akauntabiliti, ketelusan, good governance (tatakelola) di sektor awam.
“Ini agar memastikan negara memacu kejayaan dalam pembangunan dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, kerajaan memperuntukkan RM360 juta kepada SPRM pada tahun depan.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat berkata, jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2025 itu meningkat berbanding RM338 juta yang disediakan tahun lalu.
Beliau menegaskan, masa depan negara bergantung kepada kejayaan kita membanteras rasuah. – UTUSAN










