Cef Wan kekal bayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantu

Cef Wan kekal bayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantu

REDZUAWAN ISMAIL@CHEF WAN Redzuawan Ismail atau Chef Wan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan kekal diperintah membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya, Gavin Edward O’Luanaigh berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap lelaki itu di platform media sosial.

Perkara tersebut ditentukan selepas Cef Wan menarik balik permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, semalam.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membatalkan permohonan itu dan memerintahkan selebriti berkenaan membayar kos RM5,000.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada prosiding itu, peguam Nur Adilah Nabilah Abdull Jamal mewakili Cef Wan (pemohon) manakala bekas menantunya diwakili Nur Khidmah Huzaisham.

Beliau memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya berhubung penerbitan berunsur fitnah di platform media sosial.

Pada 26 Jun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan Gavin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang berpendirian kenyataan Chef Wan tidak memfitnah beliau.

Panel berkenaan ketika itu memerintahkan Cef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada bekas menantunya dan kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memberikan injunksi kekal yang melarang Cef Wan daripada menerbitkan kenyataan yang memfitnah bekas menantunya.

Panel itu juga memerintahkan Cef Wan membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Mahkamah Rayuan berpendapat, Cef Wan melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap bekas menantunya.

Gavin yang merupakan seorang warganegara British memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar. Beliau berkahwin dengan anak Chef Wan, pelakon Serina Redzuawan pada 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.

Dia memfailkan saman itu pada Februari 2021 dengan mendakwa lapan hantaran media sosial oleh bekas bapa mentuanya mengenai beliau dan isterinya kini, memfitnah mereka.

Pada 11 Mei 2023, Pesuruhjaya Kehakiman Rozi Bainon memutuskan lapan hantaran dalam laman sosial Instagram dan Facebook yang dibuat oleh Cef Wan, tidak memfitnah Gavin.

Hakim berkenaan turut memerintahkan Cef Wan menurunkan kelapan-lapan hantaran berkenaan yang menjadi subjek dalam tuntutan saman fitnah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN