PETALING JAYA: DAP diingatkan supaya tidak memainkan isu penggunaan bahasa Mandarin yang diguna MCA sebagai bantahan terhadap cadangan kerajaan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, penggunaan bahasa masyarakat Cina bukan isu yang wajar diperbesar kerana kenyataan dikeluarkannya hanya mengikut pandangan peribadinya.
“Tidak perlu pertikai mengapa saya menulis dalam bahasa Mandarin sahaja, bukan dalam bahasa Melayu. Hakikatnya, saya tetap rakyat Malaysia.
“Itu pandangan biasa saya. Jika orang bawah (akar umbi) bangkitkan, maka kita bangkitkan. Tidak perlu pertikai perkara-perkara lain.
“Jangan gunakan bahasa sebagai isu utama kerana bagi saya tiada masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam wawancara Mingguan Malaysia bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim kelmarin, beliau mendakwa yang kenyataan akhbar Jeck Seng sebagai membantah cadangan kerajaan tentang isu pensijilan halal ‘sangat kurang manis’ berbanding beliau, malah hanya ditulis dalam bahasa Mandarin.
“Sebenarnya, apa yang MCA tulis dalam bahasa Mandarin itu juga sangat kurang manis. Saya yakin penulisan saya lebih sopan berbanding mereka. MCA ini ‘pandai’ kerana mereka hanya menulis dalam bahasa Mandarin sahaja.
“Sedangkan kita ini wakil rakyat untuk semua kaum dan bangsa. Yang menghadapi masalah pensijilan halal ini termasuk semua orang. Jadi, mengapa tulis dalam satu bahasa sahaja?” soalnya.
Beberapa jam sebelum Teresa membantah cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempertimbang mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol, Jeck Seng juga membuat perkara sama.
Kedua-dua mereka sebelum ini bersependapat tindakan kerajaan akan meningkatkan beban operasi perniagaan, menghalang pembangunan pelbagai pasaran dan memberi kesan kepada imej antarabangsa negara.
Kata Jeck Seng, dasar Jakim akan menyusahkan perniagaan bukan Islam pada masa sama mendedahkan ketidakberkesanan pemimpin DAP dalam menjaga hak masyarakat bukan Islam.
Beliau mengkritik kerajaan campuran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dasar yang mencabul kebebasan dan hak masyarakat bukan Islam.
Beliau turut mempersoal sama ada pemimpin DAP dalam kabinet ada mempertahan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan masyarakat bukan Islam.
Bagaimanapun, memandangkan kenyataan akhbarnya pada 6 September lalu yang dikeluarkan sebelum Teresa hanya dalam bahasa Mandarin, manakala media berbahasa Inggeris dan Melayu tidak menyerlahkannya, beliau dikatakan terselamat daripada ‘serangan’ yang diterima Teresa. – UTUSAN











