Syed Hussien jadi pilihan pengundi muda?

Syed Hussien jadi pilihan pengundi muda?

SYED HUSSIEN Syed Abdullah diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Johari Ghani ketika Hari Penamaan Calon DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan calon masing-masing untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, perkara yang ketara ialah usia ‘ayam sabung’ mereka yang jauh berbeza.

Apa tidaknya, BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah yang berusia 40 tahun.

PN pula mengetengahkan Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang, Mohamad Haizan Jaafar yang sudah berusia 61 tahun.

Walaupun Mohamad Haizan yang lebih popular dipanggil ‘Coach Haizan’ masih nampak ‘muda’ dan cergas, namun jurang usia dengan Syed Hussien begitu ketara.

Ibarat anak dan ayah!

Namun, usia bukan faktor utama yang ‘dipandang’ para pengundi.

Yang paling utama adalah kebolehan dan keupayaan calon yang mampu membawa suara mereka ke peringkat DUN Johor.

Walaupun kedua-dua calon mempunyai kelebihan masing-masing, namun berdasarkan sambutan daripada orang ramai semasa berkempen yang memasuki hari keenam hari ini, jelas calon BN, Syed Hussien seakan-akan mendahului sai­ngan kerana dilihat mampu menarik sokongan pengundi, terutamanya golongan muda dan belia.

Indikator itu berdasarkan sam­butan baik pada program Santai Anak Muda Bersama MB yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Syed Hussien, Isnin lalu.

Program tersebut dihadiri lebih 500 golongan muda yang tidak mahu melepaskan peluang bertemu Menteri Besar dan calon BN berkenaan.

Mungkin ada yang berpendapat, program itu mendapat sambutan baik kerana dihadiri Menteri Besar, namun dalam kempen-kempen yang lain, ke­ha­diran Syed Hussien turut me­nerima sambutan hangat daripada golongan muda, sama ada Melayu, Cina mahupun India.

Mungkin kerana faktor usia dan sikap Syed Hussien yang sentiasa merendah diri dan mudah mesra membuatkannya se­nang didekati dan berinteraksi dengan pelbagai golongan.

Malah, turut diakui bahawa pengalamannya menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) turut membantunya lebih dikenali di kawasan berkenaan.

Masyarakat di DUN Mahkota sudah mengenalinya kerana sebelum ini sering menyantuni mereka termasuk menyelesaikan pelbagai aduan dan masalah yang timbul.

Walaupun dilihat mempu­nyai kelebihan, calon PN,’Coach Haizan tetap mempunyai kekuatan tersendiri.

Selain dikenali kerana merupakan bekas pemain bola sepak Johor dan jurulatih, ramai ‘anak didiknya’ juga merupakan pe­ngundi DUN Mahkota.

Walaupun, lebih berusia lebih 60 tahun, namun hubungan de­ngan golongan muda tetap akrab serta panggilan ‘Coach Haizan’ sering dilaungkan dalam setiap kempennya menemui pengundi.

Justeru, siapa yang lebih memenangi hati dan undi golo­ngan muda hanya akan diketahui pada 28 September ini.

DUN Mahkota mempunyai 52 peratus daripada keseluruhan 66,318 pengundi adalah pengundi berusia kurang 40 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×