SSPA pilihan terbaik penjawat awam – CUEPACS

SSPA pilihan terbaik penjawat awam – CUEPACS

CUEPACS menyifatkan skim SSPA sebagai pilihan terbaik yang boleh dipertimbangkan penjawat awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai pilihan terbaik yang boleh dipertimbangkan penjawat awam dalam pemilihan pelarasan sistem sara­an mereka kelak.

Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, opsyen SSPA itu wajar dipertimbangkan kerana diberi pelbagai kelebihan cuti serta elaun tanpa menjejaskan skim pencen sedia ada.

“Tambahan pula, peningkatan elaun pakaian dan kemudahan perubatan serta penambahbaikan cuti juga dilihat sebagai satu pilihan yang boleh diambilkira bagus kepada penjawat awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, akhbar ini mela­porkan bantuan pakaian, kemudahan perubatan serta penambahbaikan cuti separuh gaji dan cuti menjaga anak antara kelebihan sekiranya penjawat awam memilih skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam maklumannya kel­marin memberitahu, bantuan itu melibatkan kot, jubah mah­kamah serta pakaian panas di tempat kerja.

Kadar bayaran kot kepada pegawai yang bertugas di mah­kamah ditambah baik daripada RM250 sehelai kepada RM500 tanpa had bilangan.

Kemudahan pakaian panas bilik komputer dipinda kepada bantuan pakaian panas tempat kerja dengan kadar sedia ada sebanyak RM150 ditambah baik kepada sebanyak RM200 dan di­perluaskan kepada mana-ma­na pegawai yang bertugas di persekitaran kerja yang di­selenggara di bawah suhu 20 darjah Celsius.

Pada masa sama, pemberian kemudahan perubatan untuk keluarga pegawai ditambah baik dengan pemanjangan had umur anak yang masih mendapat pendidikan menuju Ijazah Pertama daripada 21 tahun kepada 26 tahun.

SSPA juga memperluaskan kemudahan cuti separuh gaji sedia ada yang diberikan atas sebab-sebab kesihatan sanak saudara rapat meliputi keluar­ga pegawai sendiri, ibu bapa, adik-beradik, ibu bapa mentua, nenek dan datuk pegawai.

Ia diperluaskan kepada ibu bapa angkat, ibu bapa tiri, anak angkat, anak pelihara, anak ang­kat de facto dan anak tiri tanggungan.

Kemudahan cuti menjaga anak juga dipanjangkan kepada pegawai lelaki yang mempunyai anak kandung, anak tiri tanggungan, anak angkat de facto, anak angkat atau anak pelihara dengan tempoh yang dibenarkan terhad sehingga satu tahun sepanjang tempoh perkhidmatan atau sehingga anak mencapai umur lima tahun, mengikut mana-mana yang terdahulu.

Terdahulu SSPA mengumumkan, Pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November ini untuk memilih sama ada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam yang berstatus tetap dan pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada pegawai awam yang memilih opsyen SSPA sahaja.

“Pelaksanaan dan perincian seperti pelarasan gaji dan urusan perkhidmatan menerusi SSPA akan dimulakan dengan sesi libat urus Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat di semua kementerian dan jabatan bagi membolehkan pengurus sumber manusia mendapat pencerahan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini