Sijil halal: Tindakan Dr. Akmal tegur Teresa, Kelvin adalah tepat

Sijil halal: Tindakan Dr. Akmal tegur Teresa, Kelvin adalah tepat

Sijil halal
FARIZ HAZURIN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegur Teresa Kok disifatkan tepat kerana ia jelas menyentuh isu sensitiviti agama dan umat Islam di negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, Naib Pengerusi DAP itu ditempelak kerana secara biadab mempertikaikan usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai pensijilan halal.

Tegas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang itu, beliau turut menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen yang lantang mengkritik Dr. Akmal sebagai satu penghinaan kepada Islam.

“Teresa Kok tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan agama yang tiada mengena dengan beliau apatah lagi ia jelas menghina dan mencabar sensitiviti umat Islam.

“Kritikan Kelvin Yii juga bukti bahawa beliau gagal memahami atau menghormati kepentingan dan hakikat isu halal yang suci di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Dr. Akmal mempertahan tindakannya mengecam Teresa selepas dianggap biadab kerana mengeluarkan kenyataan bersifat seksis dan misoginis.

Dr. Kelvin Yii kemudian menyatakan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu perlu menentang dengan fakta dan hujah dalam isu cadangan JAKIM yang mempertimbangkan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan.

Mengulas lanjut, Fariz menegaskan, tindakan Dr. Akmal itu bukan saja wajar malah perlu dipuji kerana tegas mempertahankan hak dan kepentingan majoriti rakyat negara ini.

“Kita tidak perlu pemimpin seperti Kelvin Yii yang hanya tahu membela pihak yang secara terang mencemar dan memperlekehkan urusan agama Islam. Jika bahasa Dr. Akmal dilihat keras, itu kerana beliau berani mempertahankan prinsip yang seharusnya tidak dikompromikan,” ujarnya.

Katanya lagi, Teresa Kok dan pihak yang seangkatan dengannya perlu sedar supaya tidak sesekali mencabar kesucian dan hak umat Islam.

“Ia hanya akan membawa kepada perpecahan dan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan serta keharmonian negara,” tegasnya.

Terdahulu, Dr. Akmal melalui sebuah klip video yang dimuat naik di akaun TikTok menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Teresa.

Beliau menyifatkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampil oleh kerajaan untuk ditampal di dahi pemimpin itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN