HULU TERENGGANU: Lebih 25,000 pelancong dijangka berkunjung di Tasik Kenyir, di sini pada musim cuti sekolah minggu depan.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abd. Aziz Abd. Rahim berkata, setakat ini, sebanyak 60 buah bot dan lapan rumah rakit yang beroperasi di tasik tersebut ditempah pelancong.
Katanya, pengusaha rumah bot dan rumah rakit terpaksa menolak tempahan kerana kebanyakan tempahan penuh sejak beberapa bulan lalu.
“Kebanyakan pelancong teruja menjelajah sambil menikmati tasik hutan tropika yang lengkap dengan pelbagai biodiversiti terutama dalam kalangan kaki pancing.
“Pelancong juga berpeluang berkunjung di Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Taman Herba di Pulau Sah Kecil dan menerokai Gua Bewah.
“Bagaimanapun santuari ikan kelah ditutup sementara kerana kewujudan benting pasir di laluan masuknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara meliputi kawasan takungan air seluas 38,000 hektar terbentuk hasil projek pembinaan empangan Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kuala Berang pada 1978.
Dasar tasik itu dahulunya merangkumi sembilan kampung yang menjadi kawasan penempatan penduduk terawal.
Dalam pada itu, Abd. Aziz berkata, kerajaan negeri dan Pusat disaran menambah produk pelancongan baharu di Tasik Kenyir untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjunginya pada masa depan.
Menurut beliau, pihaknya kecewa apabila terdapat beberapa pusat tarikan pelancong di tasik itu ditutup dan tidak diselenggara dengan baik seperti taman rama-rama.
“Kerajaan negeri dan Pusat patut menambahkan lagi produk pelancongan menarik di Tasik Kenyir, bukan bertindak menutup tempat pelancongan yang menarik di tasik itu,” ujarnya. – UTUSAN










