PARLIMEN: Kaji potensi jadikan Tasik Kenyir pusat data

PARLIMEN: Kaji potensi jadikan Tasik Kenyir pusat data

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan Analisis Kos-Faedah (CBA) bagi menentukan kesesuaian dan keberdayaan secara menyeluruh bagi menerokai potensi menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelaburan Pusat Data dan Kecerdasan Buatan (AI).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abd. Aziz berkata, buat masa ini, Terengganu masih belum berada dalam ‘hotspot’ bagi pusat data.

Justeru, katanya, perbincangan lanjut harusi dilaksanakan dengan semua pihak berkepentingan bagi meneliti dan mengkaji kesesuaian menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan AI dari segi infrastruktur tenaga, air dan rangkaian telekomunikasi yang memenuhi piawaian industri bagi menarik pelaburan strategik ke Terengganu.

“Kerajaan menyambut baik akan cadangan mengkaji potensi Tasik Kenyir sebagai hab projek pelaburan pusat data dan AI. 

“Namun demikian, kerajaan berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan harus melaksanakan CBA bagi menentukan kesesuaian dan keberdayaan projek pusat data secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian  Sesi Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan bersetuju bahawa gabungan sumber tenaga hijau, bekalan air yang mencukupi, dan infrastruktur sokongan ialah faktor utama bagi menarik pelaburan berteknologi tinggi.

Katanya, dari segi tenaga, kawasan Tasik Kenyir dan Terengganu secara keseluruhan mempunyai sumber bekalan tenaga yang mencukupi bagi menyokong projek pusat data di negeri tersebut. 

Malah, katanya lagi, infrastruktur sedia ada termasuk stesen janakuasa hidro di Kenyir dan Hulu Terengganu, yang disokong oleh perancangan projek tenaga boleh baharu seperti solar terapung dan hab hidrogen hijau. 

“Gabungan sumber-sumber ini menjamin bekalan kuasa yang stabil dan hijau, iaitu kriteria utama yang amat dititikberatkan oleh peneraju pusat data berteknologi tinggi,” katanya.

Dari aspek bekalan air, beliau berkata, Terengganu bakal mempunyai margin simpanan bekalan air yang mencukupi dan membolehkan pembekalan air terawat kepada pusat data di kawasan Hulu Terengganu melalui pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Kenyir yang mempunyai kapasiti 20 Juta Liter Sehari (JLH) dan penaiktarafan LRA Hulu Terengganu yang mempunyai kapasiti 65 JLH yang dijangka bermula sekitar tahun 2026-2027.

Selain itu, katanya, kawasan Kuala Nerus juga mempunyai potensi untuk pembangunan pusat data melalui penaiktarafan LRA Bukit Berapit

“Sementara itu, daripada aspek rangkaian telekomunikasi, semakan terhadap data infrastruktur di kawasan Tasik Kenyir, khususnya di Pengkalan Gawi, menunjukkan terdapat akses talian tetap UniFi oleh TM Tech dengan kelajuan sehingga 1Gbps, selain sambungan gentian optik melalui projek Broadband for General Population (BBGP) oleh Felda Prodata di bawah Kementerian Komunikasi. 

“Namun, kelajuan sedia ada masih belum mencukupi bagi memenuhi keperluan pusat data, dan penaiktarafan adalah diperlukan sekiranya pembangunan pusat data dilaksanakan di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN