Rezeki berganda pemandu bot Tasik Kenyir

Rezeki berganda pemandu bot Tasik Kenyir

MOHD. Ali Nor Mohd. Nordin (berdiri) mengemudi botnya sambil membawa pengunjung mengelilingi Tasik Kenyir di Kuala Berang, Terengganu. - UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA BERANG: Musim cuti panjang hujung minggu lalu membawa limpahan rezeki berganda kepada pengusaha dan pemandu bot pelancong di sekitar Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini, apabila jumlah kehadiran pengunjung meningkat ketara berbanding hari biasa.

Bagi Mohd. Ali Nor Mohd. Nordin, 38, yang sudah hampir dua dekad berkhidmat sebagai pemandu bot pelancong sepenuh masa, kehadiran pelancong yang ramai sejak Sabtu hingga Isnin lalu memberi peluang untuknya menambah pendapatan secara drastik.

“Hari minggu biasa nak dapat satu trip pun payah, tetapi sepanjang cuti hujung minggu lalu, Alhamdulillah ramai pengunjung yang memilih untuk naik bot mengelilingi tasik ini.

“Dalam tempoh tiga hari itu sahaja, saya mendapat 14 trip dengan anggaran pendapatan sekitar RM3,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohd. Ali Nor yang bernaung di bawah Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir berkata, dia menggunakan bot milik bapa mentuanya yang bernilai kira-kira RM25,000 bagi menjalankan perkhidmatan membawa pelancong.

Menurutnya, dia yang menetap di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu datang ke Pengkalan Gawi setiap Jumaat dan Sabtu untuk mengendalikan perkhidmatan bot manakala menguruskan kebun sawit miliknya pada hari lain.

Katanya, pelbagai pakej pelancongan ditawarkan kepada pengunjung di Tasik Kenyir, antaranya lawatan ke pulau berhampiran, pulau jauh, Taman Herba, Taman Orkid, Air Terjun Saok serta aktiviti memancing.

Malah harga pakej ditawarkan bermula serendah RM80 hingga RM700, bergantung kepada destinasi seperti Pokok Melunak dan Gua Bewah.

Katanya, permintaan terhadap trip memancing dan lawatan ke lokasi unik seperti gua dan air terjun semakin meningkat, khususnya dalam kalangan pelancong luar Terengganu.

“Cuti panjang atau musim perayaan selalunya menjadi masa terbaik untuk pemandu bot seperti kami menambah pendapatan. Kami harap promosi berterusan daripada kerajaan negeri dan agensi pelancongan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.

Turut menjadi tumpuan pengunjung adalah Kompleks Bebas Cukai Tasik Kenyir bagi mendapatkan pelbagai jenis coklat dan cenderamata.

Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara terus menjadi tumpuan pelancong domestik mahupun antarabangsa kerana keunikan ekopelancongan dan keindahan alam semula jadinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN