KUALA TERENGGANU: Penutupan beberapa produk pelancongan utama di Tasik Kenyir, hulu Terengganu, dekat sini bukan sahaja menjejaskan pemain industri tempatan, malah memberi kesan langsung terhadap kedatangan pelancong ke destinasi ekopelancongan itu.
Situasi tersebut turut memberi impak kepada pendapatan pengusaha bot, peluang pekerjaan dan rantaian ekonomi setempat sekali gus menurunkan daya tarikan pakej pelancongan yang ditawarkan kepada pengunjung.
Pensyarah Program Pelancongan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Zaleha Mohamad berkata, penutupan sementara tersebut memberi kesan jangka pendek namun jika bertujuan membaik pulih, ia boleh dilihat sebagai langkah strategik untuk penambahbaikan jangka masa panjang.
Katanya, usaha naik taraf berkenaan berpotensi meningkatkan kualiti habitat, kebajikan spesies, elemen interpretasi pendidikan dan pengalaman pelawat.
“Hasil akhirnya diharap dapat mengukuhkan imej eko pelancongan, memanjangkan tempoh penginapan pelawat serta menarik segmen pelancong berimpak tinggi dan lestari dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Zaleha, Tasik Kenyir mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab ekopelancongan bertaraf dunia berikutan keunikan biodiversiti, landskap semula jadi yang luas serta kepelbagaian flora dan fauna.
Menurutnya, pembangunan ekopelancongan di kawasan itu perlu berteraskan prinsip pemuliharaan alam sekitar di samping memberi penekanan kepada penglibatan komuniti setempat serta pendidikan kepada pelancong.
“Pada masa depan, Tasik Kenyir berpotensi diperkasa melalui pelbagai aktiviti berasaskan alam semula jadi seperti pemerhatian hidupan liar, eksplorasi hutan serta program kesedaran alam sekitar.
“Namun, cabaran utama adalah untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak menjejaskan ekosistem tasik termasuk memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur berimpak rendah serta penggunaan teknologi hijau,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan aspek pemasaran dan promosi perlu diperkukuh bagi meningkatkan daya tarikan Tasik Kenyir di peringkat lebih luas.
Katanya, penggunaan platform digital seperti media sosial, penghasilan kandungan visual berkualiti tinggi serta kerjasama strategik bersama penggiat industri pelancongan mampu meningkatkan keterlihatan destinasi tersebut. – UTUSAN










