KLUANG: Namanya bukan asing bagi masyarakat di daerah ini termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Masakan tidak, menjadi Pengurus Eksekutif Yayasan Prihatin Kluang (YPK) selama empat tahun membolehkannya sering berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan tidak mustahil bagi Zainani Jamaluddin, 47, dikenali ramai di daerah ini.
Malah, jiwa lembut Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang itu memberi kelebihan kepadanya untuk memahami denyut nadi rakyat apabila kerap mendampingi masyarakat.
Berkecimpung dalam arena politik sejak berusia 24 tahun pada 2002 sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO Bahagian Kluang, daya kepimpinan yang ditonjolkan membolehkannya diangkat sebagai peneraju sayap UMNO itu dari 2008 hingga 2013.
Berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Zainani terus ‘mendaki’ tangga kepimpinan sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian pada 2013 sebelum dipilih sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang pada 2023.
Menyedari peranan pentingnya, ibu kepada tiga orang anak ini sering menjadi antara insan pertama mendekati masyarakat di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang ditimpa musibah dan masalah.
Ditanya tentang kesediaannya untuk menjadi wakil suara rakyat di DUN Mahkota, Zainani mengakui tugas itu sudah sinonim dalam kehidupannya sejak 22 tahun lalu sebagai ahli parti keramat Melayu itu.
“Insya-Allah jika diberikan peluang, setiap pengalaman sebagai Ahli Majlis MPK selama empat tahun selain Pengurus Eksekutif YPK akan digunakan sepenuhnya untuk membela nasib pengundi di DUN Mahkota,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malah, tugas sebagai Pegawai Khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Johor selama lima tahun dari 2013 hingga 2018 juga banyak memberikan pengalaman berguna tentang tugas sebagai wakil rakyat.
“Paling utama yang perlu difikirkan adalah untuk sentiasa mendampingi masyarakat setempat dan mendengar rintihan mereka agar dapat dibawa ke peringkat tertinggi, seterusnya ditangani secara tuntas,” ujarnya.
Bagaimanapun, Zainani tetap menyerahkan kebijaksanaan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk menentukan siapa yang akan dipertaruhkan bagi mempertahankan kerusi DUN Mahkota dalam pilihan raya kecil (PRK) yang dijadualkan 28 September ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang mewakili BN pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN











