Pengadu nafi bercinta dengan Ebit Lew

Pengadu nafi bercinta dengan Ebit Lew

EBIT Lew semasa menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual Mahkamah Majistret Tenom, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: “Saya tidak bercinta dengan Ebit Lew. Kalau saya sedang bercinta dengan Ebit, dia tidak perlu Whatsapp saya beratus-ratus untuk saya sambut panggilan dia.”

Demikian keterangan pengadu yang juga saksi kesembilan semasa menjawab pertanyaan peguam bela, Datuk Ram Singh semasa sesi pemeriksaan balas yang mengandaikan pengadu sedang dilamun cinta.

Pengadu memberitahu Mahkamah Majistret di sini, sekiranya dia bercinta dengan Ebit Lew, lelaki itu tidak perlu menghantar beratus mesej melalui Whatsapp hanya untuk memintanya menyambut panggilan telefon dan meminta gambar.

“Saya akan bagi gambar dengan sukarela. Kalau saya bercinta dengan Ebit Lew, saya sambut semua panggilan dia,” katanya.

Malah katanya, dia membalas mesej Ebit dengan perkataan ‘huhu’ ‘sudah macam orang bercinta’, maksudnya macam orang bercinta namun bukan orang bercinta.

Kata pengadu, dia menghantar mesej sebegitu kerana ingin menghentikan perbualan bersama Ebit kerana ketika itu Ebit sedang menunggu penerbangan.

Dalam pada itu, pengadu turut bersetuju dengan pertanyaan peguam bahawa cinta tidak akan berputik jika bertepuk sebelah tangan kerana ia melibatkan perasaan dua orang.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN