Pemerdagangan manusia: Polis tunggu maklum balas Bank Negara babit transaksi individu tertentu

Pemerdagangan manusia: Polis tunggu maklum balas Bank Negara babit transaksi individu tertentu

TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklum balas daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai semakan transaksi wang melibatkan beberapa individu yang dikaitkan pemerdangan manusia di Myanmar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan semakan telah dihantar kepada BNM dan ia memerlukan masa untuk mendapatkan jawapan.

“Semakan itu akan memfokuskan pada aliran transaksi yang berlaku di Myanmar melibatkan individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, keterangan membabitkan seorang Datuk Seri juga telah diambil semalam bagi membantu siasatan.

“Datuk Seri berkenaan merupakan seorang ahli perniagaan dan panggil untuk bantu siasatan,” jelasnya.

Razarudin berkata, seramai lapan individu termasuk seorang ahli politik dan suaminya sudah pun dipanggil.

Selain itu, keterangan daripada penulis blog dari Indonesia juga diambil hari ini berhubung penulisan artikel membabitkan kes tersebut.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung isu ini dan memberi ruang kepada polis untuk lengkapkan siasatan,” katanya.

Baru-baru ini Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim bagaimanapun tampil menafikan terbabit dan mendakwa, tuduhan itu dikutip daripada media picisan di Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×