SERDANG: Logo Malaysia’s Best memasuki fasa baharu sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bagi terus memperkasa dan memasarkan keluaran pertanian tempatan ke pasaran global.
Malaysia’s Best yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merupakan satu pengiktirafan dan penjenamaan nasional kepada simbol kualiti serta keselamatan makanan untuk keluaran pertanian Malaysia.
Dengan adanya logo tersebut maka ia bermakna produk itu diperakui berkualiti, selamat dan mencapai standard di peringkat domestik serta antarabangsa.
Pengarah Kanan Bahagian Regulatori Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Asmizal Jaafar berkata, Malaysia’s Best mula diperkenalkan pada 2002 dan kini melalui penambahbaikan dengan mengemaskini meterai “Approved By Government Of Malaysia” dan peluasan skop tanaman kepada penternakan serta perikanan dengan slogan ‘Keaslian Malaysia, Kualiti Terbaik’.
Kata beliau, logo tersebut merupakan perakuan daripada Kerajaan Malaysia melalui KPKM bahawa produk pertanian yang memperoleh Malaysia’s Best merupakan keluaran pertanian yang berkualiti dan selamat untuk dimakan.
Oleh kerana itu, jelasnya, melalui penjenamaan Malaysia’s Best, keluaran pertanian tempatan diharap dapat bersaing di pasaran domestik serta antarabangsa.
“Antara faedah daripada penjenamaan Malaysia’s Best ini adalah kita mahu mewujudkan satu penjenamaan nasional yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi keluaran pertanian Malaysia, dan pada masa sama, ia juga dapat meningkatkan keyakinan pengguna”.
“Penjenamaan ini diharap dapat memberikan faedah kepada negara kita, ia merupakan satu imej yang baik dan memberi nilai tambah kepada keluaran pertanian Malaysia jadi kita harap pasaran agro makanan negara akan berkembang melalui usaha ini.
“FAMA yakin bahawa penjenamaan Malaysia’s Best merupakan strategi pemasaran yang lebih efektif sama ada untuk pasaran domestik dan juga antarabangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan C di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.
Asmizal berkata, sehingga kini terdapat 28 syarikat dan satu individu yang sudah memperolehi sijil penjenamaan Malaysia’s Best bagi komoditi sayur serta buah melibatkan 50 ladang Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan setaraf.
“Daripada itu terdapat dua syarikat pengeksport melalui Malaysia’s Best telah berjaya memasarkan produk mereka di pasaran global.
“Dua syarikat itu adalah As-Syura Trading and Resources yang memproses Nangka sejuk beku serta Top Fruit yang berjaya mengeksport durian Malaysia ke China,” katanya.
Beliau berkata, FAMA menyasarkan 100 syarikat yang diberikan kelulusan pensijilan penjenamaan Malaysia’s Best pada tahun ini.
Jelasnya, permohonan baharu dan pembaharuan boleh dibuat melalui laman web Malaysia’s Best dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Katanya, syarat-syarat tersebut bagi memastikan kualiti produk di bawah penjenamaan Malaysia’s Best sentiasa terjaga dan berada di tahap yang tertinggi.
“Pemohon perlu mempunyai sijil myGAP atau sijil yang setara dan mematuhi Peraturan-peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian) 2008 dan memasarkan keluaran pertanian bagi segar.
“Pemohon perlu mengemukakan salinan surat perjanjian kerjasama atau surat pajakan jika menggunakan ladang milik petani lain, di samping mempunyai premis tetap atau sementara bagi melaksanakan kerja-kerja penggredan, pembungkusan dan pelabelan.
“Bagi permohonan pembaharuan hendaklah dalam tempoh enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh sah laku sijil Malaysia’s Best,” jelasnya.
Sementara itu, Asmizal berkata, FAMA amat menggalakkan semua pengeluar, pemasar dan pengeksport keluaran pertanian tempatan yang layak untuk memohon pensijilan penjenamaan Malaysia’s Best.
“Malaysia’s Best merupakan satu bentuk jaminan, di mana agensi kerajaan akan terus membantu mereka dalam mempromosikan produk dan jenama sehingga mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa.
“FAMA ada menyediakan Insentif Galakan Penyertaan Penjenamaan Malaysia’s Best dan Insentif Galakan Pemasaran Eksport Usahawan Malaysia’s Best, di mana bantuan ini berbentuk penambahbaikan pembungkusan dan logistik hantaran eksport” katanya.
Tambahnya, penjenamaan Malaysia’s Best mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama apabila logo tersebut diperkasakan semula.
“FAMA menerima banyak permohonan dan kita melakukan saringan yang teliti bagi memastikan kualiti produk-produk keluaran pertanian Malaysia yang dijenamakan sebagai Malaysia’s Best diyakini sentiasa,” ujarnya. – UTUSAN











