Guan Eng dikhabar mahu kembali terajui Pulau Pinang?

Guan Eng dikhabar mahu kembali terajui Pulau Pinang?

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Pe­ngerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengesahkan tidak bertanding pada pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang pada 22 September ini menimbul­kan persoalan, siapa akan menggantikan kedudukannya sebagai pengerusi parti itu.

Persoalan itu turut menimbulkan tanda tanya lebih besar iaitu adakah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas ini akan turut digantikan dengan Pengerusi DAP baharu.

Cakap-cakap dalam kalangan pemimpin politik DAP menyatakan, terdapat beberapa individu yang menjadi ‘proksi’ kepada pemimpin tertinggi parti itu akan dicalonkan bagi jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Antara yang disebut-sebut ialah Senator dan Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying. Hui Ying adalah adik kepada Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Seorang lagi turut disebut-sebut ialah Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong yang juga Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Meskipun mereka layak un­tuk bertanding jawatan Pe­nge­rusi DAP negeri itu, namun kedua-duanya tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang kerana Hui Ying dan Steven adalah Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam hal ini, terdapat pe­mimpin yang layak untuk memegang kedua-dua jawatan ter­sebut iaitu Guan Eng sendiri, di mana beliau pada ketika ini memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Malah, beliau juga sebelum ini merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal bermula 2008 sebelum jawatan itu diserahkan kepada Chow pada 2018.

Namun, Chow pada Mei tahun lalu menetapkan peraturan mana-mana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri berkuat kuasa, tidak boleh dilantik semula ke jawatan sama.

Chow berkata, Perkara 7 Fasal 2 (a) (ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.

Bagaimanapun, menurut se­orang pemimpin DAP yang ti­dak mahu dinamakan berkata, peraturan itu boleh dicabar jika mana-mana pemimpin terdahulu ingin membuat come back, dan mempersoal peraturan itu wujud pada zaman Chow dan seterusnya, sekali gus ia tidak terpakai kepada pemimpin terdahulu.

Secara dasar dengan melihat perkembangan politik di Pulau Pinang, Chow sebelum ini dilihat sering ‘diserang’ dalam beberapa isu, antaranya terbaharu membabitkan penjualan tanah kepada sebuah syarikat swasta oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×