GEORGE TOWN: Dua pelancong warga China terbunuh selepas kereta yang diletakkan di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan di Lebuh Gereja di sini hampir musnah selepas dihempap pokok tumbang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, sebahagian daripada rekahan konkrit bangunan yang terletak berhampiran turut runtuh menimpa kedua-dua mangsa.
Difahamkan, selain kenderaan mangsa, dua lagi kenderaan yang kebetulan berada di lokasi turut terjejas akibat insiden berkenaan.
Mangsa pertama iaitu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an manakala seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 30-an dipercayai anak kepada lelaki terbabit.
Difahamkan juga, anggota bomba terpaksa mengambil masa selama hampir tiga jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang terperangkap dalam kereta tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Operasi yang juga Penguasa Bomba Zon Daerah Timur Laut, Muhammad Syafiq Noor Azman berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit berikutan lokasi kejadian yang sempit dan ruang terhad untuk membawa masuk kren ke kawasan itu. – UTUSAN











