Belum kahwin bukan sebab takut komitmen - Dafi

Belum kahwin bukan sebab takut komitmen – Dafi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIKAN nakal tentang lakonan, nyanyian baik tarian sudah sering didengar membabitkan artis, Dafi Ismail. Tapi anak kepada figura politik, Datuk Seri Ismail Sabri ini seolah-olah sepi daripada gosip. Sukar diteka pernahkah ada gadis yang berjaya mencuri hatinya.

Sudah menjejaki usia 36 tahun, pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri ini mengakui masih bujang dan tidak merasakan perlu terburu-buru mencari pasangan, apalagi melangkah ke alam perkahwinan.

“Di usia begini, ada sahaja orang-orang yang cuba saya kenal dan berkawan, tapi tiada yang menjadi.

“Lagi pula, lumrah pasangan berkahwin tidak semuanya momen bahagia. Ada juga pengalaman kawan-kawan dan orang sekeliling menceritakan betapa tertekannya alam perkahwinan.
“Itu membuatkan saya tidak terburu-buru. Jika mahu kata saya takut kepada komitmen pun, tidak juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jika ada yang menyangka kehidupan seorang bujang sangat menyedihkan dan sunyi, nampaknya peserta Akademi Fantasia musim ke-5 melawan segala sangka dan ironi.

Menjadi solo membolehkannya berbakti dan menemani kedua orang tuanya di rumah. Tidak hairanlah jika hubungan Dafi dengan ibu, ayah sangat akrab dan tidak kekok bergurau senda seperti rakan sebaya.

“Sejujurnya, saya tidak pernah rasa sepi. Saya pernah dengar juga, bila seseorang itu sudah lama berpasangan, dia tiada boleh sendirian. Tapi saya terbalik, saya sudah lama menjadi bujang membuatkan saya selesa begini.

“Lagipula ibu bapa tidak pernah mendesak. Ayah buat peraturan, selagi tidak berkahwin, kami tidak boleh keluar dari rumah.

“Saya teringin juga duduk sendiri. Tapi inilah yang dikata ada rahmat yang terselindung di mana saya masih boleh gembirakan dan temani kedua orang tua saya di rumah,” jelasnya yang kini sibuk mengusahakan perniagaan perkhidmatan drone.

ANAK VIP
Dafi mengakui, terusik juga hatinya bila ada pihak yang hanya menganggapnya sebagai jenaka. Seolah-olah kerjaya seni yang diperjuangkan ini bukanlah sesuatu yang serius.

Cerita Dafi, pernah ada penganjur mengakui ‘takut’ untuk menawarkan peluang bernyanyi kerana gusar kalau Dafi akan meminta bayaran tinggi. Maklum sahajalah, bapanya bekas individu nombor satu negara.

“Orang tidak pandang saya serius, ada juga yang tidak mahu tawarkan kerja kerana bayaran dan juga rasa saya tidak perlukan peluang pekerjaan itu. Saya tidak nampak relevannya kenyataan itu.

“Secara peribadi, saya sedaya upaya akan cuba berdikari. Saya tidak pernah putus asa, cuma pernah berada di fasa tidak mahu terlalu berharap. Itulah yang membuatkan saya mahu terbitkan lagu baru, Hellooo! ciptaan Shazee Ishak dan lirik garapan Altimet,” katanya.

Dafi maklum sahaja ada warganet yang sengaja mengusiknya atau membuat tangkap layar ‘meme’ tariannya di laman sosial. Namun bagi penyanyi Bila Terasa Rindu ini, menjadi selebriti tidak boleh terlalu mudah diprovokasi.

“Saya fikir begini, jika saya boleh gelakkan orang, saya juga pun boleh gelakkan diri sendiri. Sebab itu kalau ada yang kutuk, saya hanya gelak dan tidak mahu ambil serius.

“Saya anggap dunia internet berbeza dengan realiti. Belum pernah lagi orang jumpa saya di luar dan ludah depan muka.

“Lagi pula keluarga saya ajar jangan balas apa-apa makian di media sosial. Empati saya juga terlalu tinggi dan tidak mungkin saya ‘lawan’ apa yang dikatakan mereka kepada saya,” jelasnya.

Terkini, dalam rangka promosi lagu terbaharunya itu, Dafi bakal hadir dengan dance challenge atau tarian saduran di lama aplikasi TikTok menggunakan lagu Hellooo!.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN