Akaun AmIslamic terima AS$70j bukan akaun peribadi saya - Najib

Akaun AmIslamic terima AS$70j bukan akaun peribadi saya – Najib

Najib Razak ketika hadir pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, hari ini.-UTUSAN/AMARULLAH ZAINUZZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa akaun AmIslamic atas namanya yang menerima wang berjumlah AS$70 juta pada 3 Januari 2012 bukanlah milik peribadi beliau sebaliknya ia adalah akaun `CSR’ (tanggungjawab sosial korporat).

Menurut beliau, walaupun akaun terbabit atas namanya namun beliau tidak pernah menguruskannya.

“Ia bukannya akaun peribadi saya. Ia adalah akaun peribadi CSR yang tidak boleh dianggap sebagai akaun peribadi. Saya sendiri tidak pernah menguruskannya,” kata Najib.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun mengakui terdapat kemasukan wang AS$70 juta ke dalam akaun terbabit kira-kira empat bulan lima hari selepas duit pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) diterima oleh SRC International Sdn. Bhd, namun beliau menafikan ia mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit (SRC International)

“Tetapi itu hanya satu garis masa (timeline) yang tidak mempunyai kaitan dengan SRC,”katanya.

Najib bagaimanapun sedikit terdiam apabila ditanya mengenai bukti atau dokumentasi bagi menyokong keterangannya bahawa wang AS$70 juta bukanlah dari SRC International.

Chee Wee: Berdasarkan pernyataan saksi, Datuk Seri tidak pernah mengemukakan sebarang dokumentasi atau rujukan terhadap punca (datangnya) duit AS$70 juta ini yang didepositkan dalam akaun 694 bukannya duit SRC atau KWAP, bukan?
Najib: Ya.

Chee Wee: Jadi, Datuk Seri memang tidak mengemukakan sebarang bukti dokumentasi untuk menunjukkan AS$70 juta bukan duit SRC atau KWAP. Tiada bukti dokumentasi.
Najib: (diam seketika) Boleh saya jawab soalan itu kemudian?

Najib berkata demikian ketika dirujuk kepada akaun miliknya dengan nombor akaun berakhir 694 oleh peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC International.

Pada perbicaraan kes jenayah sebelum ini, akaun terbabit merupakan antara akaun peribadi Najib yang diberikan kod “AmPrivate Banking-MR” yang menerima wang diseleweng daripada SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Najib tidak bersetuju dengan cadangan peguam terbabit bahawa proses permohonan pinjaman SRC International hanya mengambil masa tiga bulan sahaja seolah-olah `dipercepatkan’.

Najib turut menafikan mengarahkan mana-mana individu untuk mengeluarkan memorandum Unit Perancangan Ekonomi (EPU) berhubung pinjaman KWAP tersebut tanpa menamakan organisasi (KWAP) terbabit.

Beliau juga menafikan beliau berbuat demikian bagi mengelakkan timbulnya persoalan mengenai pinjaman tersebut di kalangan Jemaah Menteri.

Dalam tindakan saman itu, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini