Shamsul Azri boleh teruskan legasi KSN terdahulu - Cuepacs

Shamsul Azri boleh teruskan legasi KSN terdahulu – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan awam memerlukan seorang pemimpin berpengalaman luas dan dapat mendekati penjawat awam bagi memastikan segala permasalahan dapat disantuni dengan berkesan.

Oleh itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pelantikan Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu adalah bertepatan.

Menurut beliau, pihaknya yakin pengalaman luas Shamsul Azri dalam perkhidmatan awam mampu meneruskan legasi kepimpinan terdahulu dan menerajui ke arah yang lebih baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Cuepacs berharap Shamsul Azri meletakkan aspek kebersamaan dan kesepaduan dalam kalangan penjawat awam demi merintis sebuah perkhidmatan awam yang lebih gemilang untuk pembangunan negara secara holistik.

“Kebersamaan dalam perkhidmatan awam perlu diterapkan bagi memastikan segala perancangan yang dirancang oleh kerajaan mampu diterjemahkan dengan mutu perkhidmatan terbaik,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Shamsul Azri dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa mulai 12 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos ini.

Katanya, Shamsul Azri, 55, bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, seluruh warga perkhidmatan awam perlu memberikan sokongan dan kebersamaan yang penuh kepada Shamsul Azri untuk menerajui perkhidmatan awam demi kebaikan institusi.

“Kepimpinan tanpa sokongan warganya sudah tentu menyukarkan aspirasi perubahan yang mahu dibawa oleh Shamsul Azri,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN