KSN, KPPA diminta pertimbang tambah baik skim penguat kuasa imigresen

KSN, KPPA diminta pertimbang tambah baik skim penguat kuasa imigresen

AHMAD Zahid Hamidi memeriksa kawalan kehormatan ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2026 di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) diminta mempertimbangkan permintaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cadangan penambahbaikan skim perkhidmatan penguat kuasa melibatkan Jabatan Imigresen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Jabatan Imigresen merupakan antara agensi menjana kutipan hasil tertinggi negara dengan merekodkan kutipan RM2.6 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini dan RM5.2 bilion pada tahun lalu.

“Tan Sri KSN dan KPPA, apalah sudi kiranya berikan pertimbangan daripada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

“Sebagai orang lama yang telah mendepani permasalahan imigresen, saya amat bersetuju permintaan Menteri Dalam Negeri dapat dipertimbangkan daripada KSN dan KPA,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2026 di sini semalam.

Pada majlis sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memohon pertimbangan kerajaan menambah baik skim perkhidmatan pegawai penguat kuasa imigresen bagi memastikan pembangunan organisasi itu terus diperkasakan.

Katanya, beban dipikul Jabatan Imigresen ketika ini jauh berbeza berbanding satu abad atau beberapa dekad lalu apabila fungsinya semakin menyeluruh.

“Jabatan Imigresen sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk memperkukuh organisasinya yang kritikal terutama selepas salah satu fungsi diambil alih oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) .

“Antara cadangan yang diutarakan termasuk cadangan penambahbaikan skim perkhidmatan penguat kuasa imigresen. Tolong tengok-tengokkan terutama skim perkhidmatan penguat kuasa Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, prestasi cemerlang imigresen sejak beberapa tahun lalu membuktikan keupayaan agensi itu menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa.

Menurutnya, antara pencapaian membanggakan ialah pasport Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga paling berkuasa di dunia selain proses pengeluaran pasport yang hanya mengambil masa kira-kira satu jam.

“Jabatan Imigresen turut berjaya mencatat kutipan hasil melebihi RM5.2 bilion pada 2025 sekali gus mengekalkan prestasi mengutip hasil melebihi RM5 bilion bagi tiga tahun berturut-turut.

“Setakat Jun tahun ini pula, kita telah mengutip RM2.6 bilion dan saya percaya menjelang hujung tahun kita sekali lagi akan melepasi angka kutipan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN