PUTRAJAYA: Sebanyak RM3.21 bilion kos pematuhan kepada kerajaan berjaya dijimatkan menerusi 496 daripada 1,582 projek yang didaftarkan menerusi inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu menunjukkan bahawa agenda reformasi perkhidmatan awam bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, sebaliknya perlu berani menilai semula proses dan cara perkhidmatan disampaikan kepada rakyat.
Menurut beliau, pendigitalan perlu menjadi pemangkin kepada reformasi sebenar terhadap struktur, proses dan tata kelola kerja, khususnya bagi menghapuskan kerenah birokrasi.
“Prinsipnya mudah iaitu gunakan pendigitalan untuk menghapuskan kerenah birokrasi. Untuk makluman, sehingga kini, inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi sudah berjaya mendaftarkan sebanyak 1,582 projek dengan 496 projek sudah siap, di mana penjimatan kos pematuhan kepada kerajaan adalah sebanyak RM3.21 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Enterprise Architecture 2026 dan Peluncuran Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, perkhidmatan awam tidak boleh sekadar memindahkan proses manual ke skrin digital sekiranya proses berkenaan masih memerlukan masa yang panjang, data sama diminta berulang kali atau rakyat terpaksa berurusan dengan pelbagai agensi.
“Jika proses masih panjang, data yang sama masih diminta berulang kali, sistem masih tidak boleh berkomunikasi dan rakyat masih perlu bergerak daripada satu agensi kepada satu agensi lain, adakah ini yang kita hendak gelarkan sebagai transformasi digital? Semestinya tidak,” katanya.
Jelasnya, pendekatan ‘Whole-of-Government’ penting kerana urusan rakyat tidak terikat dengan carta organisasi kerajaan, sebaliknya rakyat melihat kerajaan sebagai satu entiti.
Sehubungan itu, katanya, setiap inisiatif pendigitalan perlu dinilai berdasarkan keberhasilan yang dirasai rakyat, termasuk sama ada proses menjadi lebih ringkas, masa menunggu berkurang dan maklumat tidak lagi perlu dikemukakan berulang kali. – UTUSAN











