Rogol kanak-kanak: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman penghantar barang 

Rogol kanak-kanak: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman penghantar barang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Seorang penghantar barang, kekal menjalani hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman kerana merogol seorang kenalan bawah umur di sebuah hotel bajet di Batu Pahat, Johor, empat tahun lalu.

 

Muhamad Nur Hidayat Md. Selliman, 31, pernah melarikan diri ketika kes sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat sebelum ditahan semula di Ipoh, Perak pada Januari 2022.

 

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak rayuan akhirnya selepas berpuas hati Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman itu yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Tinggi Muar pada 22 Ogos 2023.

 

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin berpendapat, tiada justifikasi bagi korum berkenaan mengganggu perintah terhadap perayu.

 

Mahkamah Sesyen turut memerintahkan Muhamad Nur Hidayat menjalani sesi kaunseling pemulihan semasa menjalani hukuman penjara dan pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman selesai.

 

“Perayu telah mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak perempuan sekecil itu untuk melampiaskan nafsunya tanpa sedikit pun merasa bersalah atau simpati terhadapnya yang masih mentah.

 

“Mangsa hanyalah murid darjah enam yang berusia 11 tahun 11 bulan 28 hari semasa kejadian manakala perayu ketika itu berusia 27 tahun,” ujar Hakim Azmi dalam penghakiman bertulis bertarikh 31 Julai lalu yang diperoleh oleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

 

Muhamad Nur Hidayat disabitkan merogol mangsa kira-kira pukul 2.30 petang, 20 November 2020 di hotel berkenaan di Batu Pahat.

 

Panel itu selanjutnya berpendirian, perayu memohon hukuman ringan kerana menyesali perbuatan tersebut dan memberi akujanji untuk tidak mengulanginya.

 

Namun pada hemat itu, perayu cukup dewasa untuk memikirkan bahawa perbuatan liar itu bukan sahaja berakhir dengan kemudaratan dan bencana pada dirinya, malah yang lebih menyedihkan telah mencemar kesucian dan kehormatan mangsa.

 

Hakim Azmi juga menyatakan, berita berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan dan sangat kerap dilaporkan oleh pihak media kebelakangan ini.

 

“Justeru kesalahan serius perayu perlu diberi hukuman setimpal dengan perbuatan kejinya bagi melindungi kanak-kanak daripada sering menjadi mangsa jenayah seksual bagi menunjukkan keseriusan mahkamah menangani jenayah jijik ini daripada berterusan,” ujar beliau.

 

Keterangan kes menyatakan, mangsa dibawa ke hotel berkenaan selepas perayu yang dikenali sebagai Joe membawanya bersiar-siar pada petang hari kejadian.

 

Muhamad Nur Hidayat kemudian memasuki hotel itu sementara mangsa menunggu dalam kereta. Perayu selanjutnya keluar semula dan mengajak mangsa masuk ke bilik di tingkat bawah hotel berkenaan sebelum merogolnya.

 

Mangsa tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapapun sehinggalah dipaksa oleh ibunya setelah melihat kanak-kanak itu berubah kelakuan dan kerap berkurung dalam bilik selepas kejadian tersebut.  Kanak-kanak itu kemudian membuat laporan polis.

 

Keluarga mangsa kemudian mengatur rancangan untuk memerangkap lelaki itu dengan menyuruh kanak-kanak tersebut mengajaknya bertemu di Parit Raja sebelum ditangkap oleh bapa mangsa di tempat yang dijanjikan dan dibawa ke balai polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN