Duda rogol adik kandung dipenjara 18 tahun, 20 sebatan

Duda rogol adik kandung dipenjara 18 tahun, 20 sebatan

TERTUDUH semasa diiringi polis untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Pasir Mas, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang duda menerima balasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya berusia 13 tahun.

Tertuduh berusia 29 tahun yang juga penganggur itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu yang merupakan penganggur didakwa merogol adik kandungnya ketika mangsa berusia 13 tahun dan 13 tahun lima bulan apabila perhubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin dengannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Tanah Merah dekat sini kira-kira pukul 10 pagi pada Disember 2025 dan 12.45 tengah malam pada 4 Mei 2026.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang merupakan anak sulung daripada 11 beradik memohon untuk ditempatkan di Penjara Bentong, Pahang kerana sebelum ini pernah dijel di penjara tersebut atas kesalahan dadah.

Siti Aiysha Na’ilah kemudian mencadangkan satu hukuman yang berat kerana tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada ahli keluarga dan bukannya merogol adik sendiri.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 18 tahun dan 20 sebatan selain memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh hukuman penjara dan pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas dibebaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN