Myanmar usir wakil Timor Leste kes jenayah perang - Utusan Malaysia

Myanmar usir wakil Timor Leste kes jenayah perang

JUNTA Myanmar mengusir kuasa usaha Timor Leste selepas negara itu membuka kes tuduhan jenayah perang terhadapnya. - Foto EPA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Junta Myanmar mengumumkan pengusiran wakil tertinggi Timor Leste di negara itu selepas sebuah kumpulan hak asasi menyatakan Dili membuka kes undang-undang terhadap pihak tentera berhubung jenayah perang.

Tentera Myanmar yang merampas kuasa melalui rampasan kuasa pada 2021 sejak berdekad-dekad lalu dituduh melakukan pelanggaran hak asasi, kebanyakannya menyasarkan golongan etnik minoriti di negara itu. 

Myanmar kini mempertahankan diri di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Belanda daripada pendakwaan berhubung genosid terhadap minoriti Rohingya yang majoritinya beragama Islam.

Namun, pertubuhan Chin Human Rights Organization (CHRO) berkata, Timor Leste telah membuka kesnya sendiri terhadap junta atas tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan.

Menurut CHRO yang mewakili minoriti etnik Chin di Myanmar, seorang pendakwa raya kanan dari Timor Leste dilantik untuk meneliti fail jenayah yang dikemukakan oleh organisasi tersebut.

Dalam satu kenyataan, junta menyifatkan pelantikan pendakwa raya untuk menyiasat kes itu sebagai satu kekecewaan besar.

Menurut kenyataan itu, pegawai misi diplomatik Timor Leste di Myanmar dipanggil pada Jumaat lalu dan diberi tempoh seminggu untuk meninggalkan negara berkenaan.

Menurut CHRO, kes yang difailkannya terhadap junta termasuk bukti tidak dapat disangkal mengenai rogol berkumpulan, pembunuhan beramai-ramai melibatkan 10 individu, pembunuhan pegawai agama serta serangan udara ke atas sebuah hospital. 

Organisasi itu memfailkan aduan berdasarkan prinsip bidang kuasa sejagat, yang membolehkan mahkamah domestik membicarakan jenayah antarabangsa.

Namun, kenyataan junta menuduh Timor Leste melanggar artikel piagam ASEAN yang menekankan kepentingan menghormati kedaulatan dan tidak campur tangan.

Junta sebelum ini turut mengusir diplomat tertinggi Timor Leste pada Ogos 2023 berhubung pertemuan kerajaan negara itu dengan pentadbiran yang diharamkan dan ditubuhkan selepas rampasan kuasa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×