SEPANG: Penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu cuba membunuh, merogol dan melakukan perbuatan luar tabie terhadap seorang juruterbang, pada 9 April lalu.
Tertuduh, Mohammad Adam Che Aziz, 22, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan cubaan membunuh terhadap mangsa di sebuah apartmen di alamat A-15-11, Tower A, Horizon Suites, Jalan HVO, Bandar Sunsuria, Sepang kira-kira pukul 11 pagi pada 9 April 2026.
Mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan denda, dan jika menyebabkan kecederaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati merogol mangsa di lokasi dan tarikh sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didapati melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama di tarikh dan lokasi sama.
Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.
Mahkamah menetapkan 19 Mei ini bagi sebutan semula kes, selain penyerahan penuh laporan perubatan dan kimia.
Perdakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain memohon tiada jaminan diberikan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, seorang wanita dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas cedera parah akibat diserang seorang lelaki tidak dikenali.
Mangsa berusia 34 tahun diserang dengan senjata tajam di sebuah unit penginapan jangka pendek. – UTUSAN










